Lee Chee Heng (kanan) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari atas tuduhan memberi rasuah kepada seorang kalitangan kerajaan sebanyak RM300 pada Oktober tahun lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini kerana memberi rasuah sebanyak RM300 kepada seorang kakitangan kerajaan di Kluang, Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Lee Chee Heng, 43, yang bekerja sebagai pemborong kelapa sawit membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dalam bahasa Mandarin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kampung Paya Dalam Palembang, Kluang pada jam 4.15 petang, 15 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa memberi suapan sebanyak RM300 kepada Pembantu Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kluang, Mohd. Firdaus Abd. Wahab agar tidak mengeluarkan kompaun atas kesalahan melakukan kerja tanah yang menyebabkan kekotoran.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Yunus Mohamed, manakala tertuduh diwakili peguam, T. Vijaya Sundram dan V. Kirthana Darshayinie. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here