Kesilapan lalu menjadi pengajaran kepada Shuk kerana apa yang berlaku, keluarga yang sentiasa berada di sampingnya.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

TIDAK mahu menyalahkan mana-mana pihak, Shuk Sahar lebih senang mengakui apa yang berlaku sebelum ini adalah kesalahannya seratus peratus.

Bagi Shuk, kisah rumah tangganya yang menjadi perhatian umum angkara adanya orang ketiga sewaktu itu, biarlah berlalu kerana beliau mahu membina kehidupan baharu.

Malah Shuk bersyukur kerana selepas apa yang berlaku, hubungannya dengan keluarga yang renggang sebelum itu kembali rapat.

Selain ibu bapa, isteri Rossalennah Natassyiah Asshaferah atau Sera bersama anak Nur Qurratu Ain, 4, dan Nur Assyifatu Aimi, 1,  kembali berada di sisinya.

Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 35, menganggap apa yang berlaku ke atas dirinya adalah satu pengajaran yang sangat berguna.

Shuk yakin rezeki sentiasa ada jika berusaha.

“Kalau boleh saya tak nak melibatkan mana-mana pihak. Biarlah orang nak kata apa, saya tak nak bercakap pasal orang lain kerana tak nak timbulkan apa-apa isu selepas ini. Saya tak pernah salahkan isteri atau sesiapa pun, atas apa yang berlaku.

“Pada saya apa yang berlaku 100 peratus adalah salah sendiri. Hidup ini adalah satu pilihan, kita yang memilih untuk jadi macam tu dan kita yang ambil risiko. Jadi kita kena hadap risiko itu dan ambil benda itu sebagai pengajaran,” katanya terus terang.

Sebaliknya, Shuk lebih suka menjadikan kejadian yang dilaluinya sebelum ini sebagai pengajaran dan kini mahu menumpukan perhatian lebih kepada keluarga.

Akui Shuk, sewaktu kejadian itu berlaku, beliau ada duit dan hubungan dengan keluarga renggang sedikit. Namun bila dilihat balik, Shuk bersyukur kerana kejadian itu membolehkan beliau kembali bersama keluarga.

Ekoran daripada peristiwa itu, Shuk akui pendapatannya terjejas kerana kontraknya sebagai penyampai Radio Hot FM ditamatkan awal sebelum 2023.

Shuk mahu membina kehidupan baharu bersama keluarga.

Begitu juga dengan tawaran pekerjaan lain yang ditarik balik pada saat akhir, namun beliau tetap gembira kerana dapat meluangkan banyak masa dengan keluarga.

“Sekarang ini duit mungkin terjejas tapi masa dengan family tu ada.  Apa yang Shuk nampak, Sera ni seorang yang kuat dengan apa yang terjadi. Bohonglah kalau Shuk kata dia tak down masa perkara itu berlaku kerana dia bukan orang dalam industri.

“Kalau nak dibandingkan dengan apa yang Sera kena pada masa tu sikit saja berbanding dengan apa yang Shuk kena. Tapi disebabkan dia terpaksa hadap benda dalam industri, itulah Shuk beritahu dia sebenarnya benda ini okey dan normal sebab kita tak boleh halang orang untuk menulis.

“Sebab zaman sekarang tak macam dulu. Zaman dulu, kalau kita buat sesuatu, mungkin antara kita dan beberapa orang saja yang tahu, kerana ia disampaikan secara percakapan saja. Zaman sekarang ini aib kita lebih cepat terbuka.

Bagi Shuk, Sera adalah seorang isteri yang kuat dan tabah.

“Shuk cakap pada Sera, awak berada di pihak yang betul, awak tak ada buat apa yang salah macam Shuk, jadi tak perlu risau dengan apa yang orang cakap. Kalau awak rasa apa yang awak buat itu betul, go on saja. Alhamdulillah dia, okey,” kata Shuk tentang reaksi Sera dalam menghadapi dugaan rumah tangga mereka.

Jelas Shuk, apa pun yang berlaku, hanya keluarga saja yang akan bersama tidak kira apa situasi. Sebab itulah perlu kembali kepada keluarga.

“Pada saya tak kiralah dalam keadaan apa sekalipun kita kena kembali kepada keluarga juga. Masa Shuk jadi macam tu, memang ada kekawan dan sahabat tapi mereka tidak akan ada dengan kita 24 jam. Sebab masa tu yang ada bersama Shuk hanyalah mak ayah. Shuk balik kampung duduk dengan mereka sekejap,” akuinya yang berjanji tidak akan lagi melukai hati isteri dan keluarga.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here