GAMBAR: wikimedia Commons.

Oleh Yusoff Ahmad Shariff

KEADAAN pandemik Covid-19 di Pakistan semakin meruncing dengan lonjakan jumlah kes gelombang ketiga.

Katil di hospital semakin berkurangan dan program vaksinasi kerajaan berjalan lambat susulan kelewatan penghantaran vaksin yang terhad.

Ekoran keadaan itu kerajaan Pakistan telah membenarkan sektor swasta mengimport dan menjual vaksin yang amat diperlukan.

Menurut media Pakistan jualan vaksin Rusia, Sputnik V sepanjang minggu pertama April telah mencetuskan kekecohan apabila orang ramai menyerbu pusat vaksinasi dan beratur berjam-jam untuk mendapatkan suntikan.

Dalam masa yang singkat beberapa pusat telah melaporkan kehabisan stok vaksin, justeru memaksa pusat lain bertukar kepada pendaftaran dalam talian.

Namun tidak lama kemudian pendaftaran dalam talian pun terpaksa dihentikan bagi membolehkan petugas memproses kumpulan yang telah mendaftar.

Menurut CNN, antara pengimport utama vaksin di negara itu ialah AGP Pharma yang telah menerima sebanyak 50,000 vaksin jenis dua dos Sputnik V, sementara syarikat-syarikat lain dan klinik swasta sedang menunggu pesanan.

Pakistan telah menerima sebanyak 2.56 juta dos vaksin dari China, dan kira-kira sejuta orang yang merupakan golongan barisan hadapan menerima vaksinasi sejak Februari lalu, justeru meninggalkan baki 238 juta orang masih menantikan giliran mereka.

Bagi yang mampu kini mengharapkan vaksinasi di klinik swasta.

Bagaimana pun, penjualan oleh sektor swasta telah menimbulkan kebimbangan tentang kenaikan harga yang mencerminkan jurang perbezaan sosial di negara itu kerana sebahagian besar klinik swasta terletak di bandar besar.

Vaksin Sputnik V berharga 12,000 rupee (RM325) untuk dua dos. Harga tersebut jauh daripada kemampuan isi rumah biasa yang purata berpendapatan hanya lebih kurang 41,545 Rupee (RM1, 137) sebulan (menurut Biro Statistik Pakistan).

Setakat ini Pakistan hanya meluluskan penggunaan tiga jenis vaksin, termasuk jenis dari China, Sputnik V Rusia dan Oxford AstraZeneca.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here