Oleh Abdul Hafiz Ahmad
[email protected]

ANGIN perubahan yang cuba ditiupkan kepada pucuk pimpinan Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) bagi penggal 2020 (2021)-2023, menjadi kenyataan dalam pemilihan semula, hari ini.

Norismadi Abd. Manap daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) muncul Presiden baharu SAM selepas menang tipis dengan 47 undi berbalas 46 milik penyandang, Datuk Jasni Shafie (Northern Corridor Promotion – NCP).

Satu undi rosak daripada 94 pengundi kalangan ahli SAM yang hadir menjalankan tanggungjawab mereka di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, memisahkan Jasni dari tampuk persatuan yang disandangnya sejak 9 Jun 2018.

Sebelum ini, Norismadi menyandang jawatan Naib Presiden SAM sejak 2012 dan menganggotai Jawatankuasa Eksekutifnya (Exco) mulai 2010 selepas sebagai ahli biasa pada 2008.

Anak jati Bentong, Pahang berusia 42 tahun ini merupakan Penolong Pengarah Media Digital Interaktif RTM.

Pemilihan semula ini terpaksa dijalankan setelah mesyuarat agung tritahunan di Kelana Jaya, Selangor pada 3 April lalu menyaksikan keputusan seri 51 undi buat kedua-dua calon kerusi No. 1 itu manakala satu kerusi Exco terikat 57 undi.

Setiausaha Agung SAM, Asan Ahmad (hubmedia) berkata, sebanyak 106 ahli SAM yang layak untuk memberikan mandat bagi kedua-dua jawatan yang terikat undi itu namun 12 daripadanya didapati tidak hadir.

Seorang daripaca calon Ahli Exco terbabit, Vikneswaran Raman (Bernama) menarik diri daripada persaingan ulangan ini sekali gus pencabarnya, Ajitpal Singh Dhaliwal (New Straits Times – NST) menang percuma.

Dengan kemenangan tanpa bertanding itu, maka lengkaplah lima penyandang jawatan Exco SAM termasuk Zuriati Zulmi (Bernama), Wan Nor Bazly Wan Azmi (Astro Arena), Ku Mohd. Lufti Ku Yahya (Sports247) dan Mohammad Rozaidi Zulkifl (Utusan Malaysia).

Terdapat seorang pegawai Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang turut hadir sebagai pemantau bebas.

BARISAN Exco SAM baharu 2020 (2021)-2023 bergambar selepas pemilihan semula di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. – Foto SAM.

JAWATANKUASA EKSEKUTIF (EXCO) SAM 2020 (2021)-2023

Presiden: Norismadi Abd. Manap (RTM)
Timbalan Presiden: Ahmed Faisal Jamal (RTM)
Naib Presiden: Mohd. Hazreen Nor Mubarak (TV3) dan Mohd. Hafizal Hamad (Astro Arena).
Setiausaha Agung: Asan Ahmad (hubmedia)
Bendahari: Azhari Mohd. Yusop (Sports Images Malaysia)
Ahli Exco: Zuriati Zulmi (Bernama), Wan Nor Bazly Wan Azmi (Astro Arena), Ku Mohd. Lufti Ku Yahya (Sports247), Mohammad Rozaidi Zulkifli (Utusan Malaysia) dan Ajitpal Singh Dhaliwal (NST).-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here