Photo by Riki Risnandar from Pexels

TELAH menjadi kelaziman pada bulan Ramadan, setiap rumah umat Islam akan menyediakan buah kurma atau tamar untuk permulaan berbuka puasa seperti mana sunnah Nabi Muhammad SAW.

Amalan baik Rasulullah SAW disebabkan buah kurma mengandungi banyak khasiat bagi membekalkan tenaga kerana terdapat gula ringkas dikenali sebagai ‘fructose’ yang mudah diserap tubuh manusia.

Perkara ini juga menepati dengan hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi: “Rasulullah SAW berbuka puasa dengan rhotab dan jika tiada rhotab, baginda akan (berbuka puasa) meminum beberapa teguk air.”

Bagi mereka yang berada di Arab Saudi dan negara Arab lain, sudah tentu dapat berbuka puasa makan rothab atau kurma segar dan minum air zam zam penuh khasiat ‘mineral’ itu.

Perlu dijelaskan bahawa istilah rhotab ialah buah kurma masak yang belum kering. Tamar pula merupakan buah kurma sudah kering yang sering dieksport terutama dari kebanyakan negara Arab di Timur Tengah.

Menurut riwayat, cara Rasulullah SAW makan buah kurma dengan maksud tertentu ialah ialah dalam jumlah ganjil seperti satu, tiga, lima, tujuh atau sebelas. Cara baginda mengambil buah kurma itu menggunakan tiga jari kanan.

Ketika mahu membuang kan biji kurma dari dalam mulutnya, Rasulullah SAW menggunakan dua jari bagi memastikan kebersihan ketika mahu mengambil buah kurma selanjutnya.

Selepas itu baginda tidak mengambil makanan berat, sebaliknya terus menunaikan solat wajib maghrib dalam keadaan kusyuk tanpa sebarang gangguan perut senak kekenyangan.

Untuk bersahur boleh juga makan kurma kerana ia memberi rasa kenyang dalam tempoh lama dan tenaga sepanjang berpuasa siang hari.

Sememangnya buah kurma yang disebut sebanyak 21 ayat dalam kitab suci al-Quran itu mengandungi 1001 khasiat luar biasa pemberi tenaga.

Sebagai contoh, Allah SWT telah menurunkan wahyu dalam Surah Maryam, ayat 25 yang bermaksud: “Dan goyanglah (gegar) pohon kurma itu nescaya dijatuhkan kepada engkau buah yang masak.”

Huraian daripada ayat surah tersebut adalah mengenai Maryam yang baru melahirkan puteranya, Nabi Isa A.S. perlu memakan buah kurma berkhasiat bagi mendatangkan tenaga dan kesihatan.

Perihal khasiat kurma turut diperakui kajian saintifik mendapati buah tersebut kaya vitamin dan mineral antioksidan penting untuk kesihatan manusia.

Kandungan dalam buah kurma meliputi zat gula (75%), glukosa (55%), fructose (45%), selain protein, minyak serta vitamin A, B2, B12, C, di samping zat kalsium, phospor, potassoum, magnesium, sodium, zink, sulfur dan sebagainya lagi.

Kandungan kalsium dan magnesium tersebut berfungsi bagi menguatkan tulang dan mencegah tulang rapuh (osteoporasis).

Pohon kurma atau nama latinnya Phoenix dactilyfera pada asalnya banyak tumbuh di negara beriklim panas bergurun pasir tandus kering kontang terutama di kebanyakan negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, Mesir, Syria, Palestin, Iran, Iraq, Turki, Oman dan lain-lain lagi.

Daripada lebih 1,000 spesies pohon kurma di seluruh dunia, terdapat kira-kira 400 spesies kurma tumbuh di negara Arab.

Kebanyakan eksport buah kurma dari negara Arab terdiri daripada jenis Ajwa (kurma nabi), Segae, Sefri, Safawi, Shaishee, Shahlal, Shebeti, Miskani, Majhool, Mabroom, Qatorah, Ghur, Anbara, Wannana, Hailali, Nabtat Ali, Nabtat Seif, Nabtat Sultan, Meneifi, Siraj, Kholas dan Maktomi.

Kurma juga terdapat tumbuh subur berbuat lebat di Algeria, Tunisia, Afrika Selatan, Pakistan serta di California (Amerika Syarikat), di samping beberapa negara Eropah seperti Mexico, Itali dan Sepanyol.

Selain itu pohon kurma dapat tumbuh subur di negara Asia seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand. Ketiga-tiga negara tersebut berjaya membuka ladang kurma yang sudah lama menuai hasil buahnya.

Pengusaha tertentu di Indonesia membuka ladang kurma seluas 3,000 hektar di Aceh. Bagi individu pengusaha di Malaysia, terdapat kebun kurma di Pekan Nanas (Johor) serta CherangTuli, Pasir Puteh dan Ulu Sat, Machang (Kelantan).

Sebelum ini pohon kurma mula dikenali sesuai tumbuh dan berbuah di Asia itu sejak ia banyak tumbuh dalam kawasan masjid di Indonesia dan Malaysia selepas biji kurma berbuka puasa dibuang jemaah itu tumbuh tanpa ditanam.-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here