Foto Berita Harian

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen 13 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding 14 peratus pada tahun sebelumnya.

Jumlah dividen itu membabitkan pembayaran sebanyak RM373.36 juta kepada 834,302 anggotanya dan dividen itu akan dikreditkan kepada anggotanya bermula 12 April 2021.

Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata walaupun berdepan persekitaran yang mencabar dicetuskan COVID-19, Bank Rakyat masih berupaya memberikan dividen yang tinggi.

“Keupayaan Bank Rakyat untuk mengekalkan jumlah keuntungan pada tahap yang baik adalah satu pencapaian kepada bank berkat sokongan pelanggan dan anggota Bank Rakyat.

“Walaupun kadar pembayaran dividen mencatatkan pengurangan satu peratus berbanding 2019, namun Bank Rakyat masih mengekalkan pembayaran dividen dua angka sejak 22 tahun lalu,” katanya pada sidang media mengumumkan dividen Bank Rakyat dan prestasi kewangan kumpulan Bank Rakyat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Wira Mas Ermiyati Samsudin, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad dan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, Bank Rakyat mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.44 bilion dan keuntungan bersih sebanyak RM1.38 bilion.

Prestasi kukuh itu dicapai melalui kekuatan asas dan fokus kepada aktiviti teras walaupun dalam keadaan persekitaran yang tidak menentu berlanjutan kesan daripada pandemik COVID-19 dan pasca moratorium.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan, berkata prestasi kewangan 2020 didorong oleh aktiviti pembiayaan dan pelaburan yang mampan walaupun terdapat sedikit penurunan dalam pendapatan pembiayaan berikutan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang mengakibatkan kemampatan marjin.

Namun demikian, beliau berkata, peruntukan penjejasan yang lebih tinggi setelah mengambil kira potensi pembiayaan terjejas (NPF), sejajar dengan industri, mengakibatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat lebih rendah berbanding keuntungan tahun sebelumnya sebanyak RM1.83 bilion.

Bagaimanapun, pendapatan operasi bersih kumpulan meningkat 6.4 peratus kepada RM3.41 bilion, daripada kos pendanaan yang lebih rendah hasil daripada pengurusan liabiliti yang berkesan dan pertumbuhan mampan Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (CASA) sebanyak 25.5 peratus kepada RM8.28 bilion berbanding RM6.60 bilion sebelumnya.

“Kumpulan berjaya mengekalkan nisbah kos kepada pendapatan yang sihat di bawah 40.0 peratus, lebih rendah daripada purata industri hasil daripada aktiviti pengurusan kos yang efektif,” katanya.

Menuju ke hadapan, Syed Abdul Aziz berkata, Bank Rakyat akan terus memberi tumpuan kepada bidang pertumbuhan baharu, terutamanya bagi memanfaatkan potensi yang boleh diterokai dalam perniagaan dan operasi untuk mewujudkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.

Beliau berkata, pelan strategik BR25 kini berada dalam fasa pelaksanaan, yang mana beberapa program telah dilaksanakan, termasuk penubuhan Pusat Perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Koperasi (SMEC) yang baharu beroperasi di seluruh negara.

Katanya, sebanyak empat SMEC dibuka pada tahun lalu, dan enam SMEC akan dibuka tahun ini termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Rancangan kita adalah melebarkan pertumbuhan keuntungan dengan mempelbagaikan perniagaan daripada runcit kepada PKS dan koperasi,” katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/04/806203/bank-rakyat-umum-dividen-13-peratus

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here