Oleh Zainal AS Rashid

PERKARA 8 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa setiap rakyat mempunyai hak sama rata.

Bagaimana pun, mengapa wakil rakyat terus memegang jawatan berbanding penjawat awam yang digantung tugas jika berdepan dengan kes mahkamah?

Itu persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim dalam sidang media Majlis Pelancaran Buku Budi Asas Tamadun dan Pameran Jawi bangsa, Seni Tonggak Budaya di Kuala Lumpur semalam.

Oleh yang demikian beliau mencadangkan supaya sesuatu dilakukan terhadap wakil rakyat yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, seperti juga penjawat awam.

Beliau merujuk kepada kelainan di antara kedua-dua kumpulan di mana wakil rakyat boleh terus bergiat setelah dihukum, walaupun diikat jamin dan menunggu keputusan rayuan, tetapi tidak pula terhadap penjawat awam.

Bagi Rais kelompangan ini harus ditangani dan persoalan tersebut dijawab.

Tanpa menamakan wakil rakyat yang dimaksudkan, beliau menekankan bahawa perlu ada nilai moral (virtue) dalam diri mereka berhubung hal ini.

Buat masa ini wakil rakyat yang telah dijatuhkan hukuman bersabit kesalahan rasuah, ialah bekas presiden UMNO Najib Razak (ahli parlimen Pekan) dan Tengku Adnan Tengku Mansor (ahli parlimen Putrajaya).

Tengku Adnan masih menunggu rayuan, sementara permohonan Najib di Mahkamah Rayuan berhubung rayuan sabitan kesalahan rasuah kes SRC International sedang berjalan.

Beberapa lagi wakil rakyat pula berdepan pertuduhan di mahkamah, termasuk Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi (ahli parlimen Bagan Datuk) dan Abdul Azeez Abdul Rahim (ahli parlimen Baling), dan Ahmad Maslan (ahli parlimen Pontian).

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here