Jais Abdul Karim
Oleh Arrazzaq Nazri

KUALA LUMPUR- Cadangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditukarkan kerana terlibat dalam kes salah guna kuasa dan tatatertib terutamanya berkaitan rasuah perlu dikaji semula kerana tindakan itu tidak berkesan, malah ia akan ‘berjangkit’ kepada anggota polis yang lain.

Menurut Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, tindakan menukarkan anggota yang terlibat tidak dapat menghentikan penyakit ‘turun temurun’ dalam PDRM ini.

Jais memberitahu BebasNews berkata, pihak berkuasa berkenaan perlu mengambil tindakan yang lebih tegas.

Beliau juga mempersoalkan campur tangan politik dalam usaha untuk mengambil tindakan ke atas anggota polis yang terlibat dengan rasuah apabila Menteri dalam Negeri dilaporkan menangguhkan pertukaran yang dilakukan oleh Ketua Polis Negara.

Pertukaran itu dikatakan melibatkan 71 orang pegawai kanan polis yang terbabit dengan kes salah guna kuasa dan tatatertib di kontinjen negeri serta ibu pejabat polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Jais berkata, Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) diberikan kuasa penuh untuk menentukan hukuman kepada pegawai dan anggota polis yang terlibat masalah tatatertib ini tanpa campur tangan pihak ketiga.

“MCW juga mencadangkan agar pihak PDRM meneliti Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) atau mengambil tindakan menggantungkan kerja apabila mendapati hukuman sabit kesalahan jenayah dan menggunapakai ‘Liabiliti korporat’ merujuk ke Seksyen 17A Akta SPRM 2009,” kata beliau.

Beliau menambah, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) perlu digunapakai dengan telus agar para pegawai yang terlibat sedar kesalahan mereka adalah serius.

Jais berkata, Setiausaha Tetap atau Ketua Jabatan hendaklah menahan gaji dan segala elaun serta menggantung kerja pegawai atau kakitangan berkenaan dengan serta merta sebaik-baik sahaja menerima laporan dan tarikh penahanan gaji dan segala elaun serta penggantungan kerja adalah daripada tarikh dijatuhi hukuman. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here