Dari kiri Pengarah IKTBN, Dalila Sharingat, Mohd. Iqbal Mohd. Noor dan Zainal Abidin A. Hamid pada majlis pelancaran IKTBN sebagai lokasi program Master Auto -The Mechanic, baru-baru ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

PERANAN mekanik boleh dikatakan penting dalam kehidupan kita. Sebagai pengguna kenderaan, kebanyakan kita hanya tahu membawa kereta atau menunggang motosikal saja.

Bila berlaku sesuatu kepada kenderaan tersebut, kita akan mencari mekanik untuk memperbaikinya. Jika mempunyai kemahiran dalam bidang automotif ini, kata orang di mana saja kita berada, insya-Allah boleh hidup. Kerja mekanik penampilannya comot tapi pendapatannya lebat.

Bagi menggalakkan anak muda menceburi bidang automotif dan menjadikan mekanik sebagai kerjaya utama, sebuah program realiti TV berjudul Master Auto – The Mechanic diterbitkan oleh pihak Merpati World Holdings Berhad.

Program yang mendapat kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu dijangka bersiaran pada September, memilih Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua, Hulu Langat sebagai lokasi penggambaran.

Program ini mahu melahirkan mekanik yang serba boleh.

Pengarah Kemahiran Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Mohd. Iqbal Mohd. Noor berkata, program daripada cetusan idea usahawan automotif, Mohd. Asri dari TAG Auto itu baik untuk golongan belia.

Ujarnya, penganjuran program itu secara tak langsung dapat mempromosi latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) khususnya bidang automotif serta menarik minat belia untuk menceburi bidang tersebut.

“Program ini dilihat memberi kelebihan kepada ILKBS (Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan) dan KBS secara keseluruhannya melalui promosi dan hebaran yang dibuat sepanjang program ini disiarkan.

Juara program ini akan berpeluang mengurus pusat pembaikan sehenti yang bernilai sehingga RM1 juta.

“Menerusi penyiaran program ini diharap dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat terhadap industri automotif dan lebih optimistik terhadap kerjaya mekanik kenderaan.

“Menerusi program ini juga diharap dapat melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang automotif dan menyediakan peluang untuk mengembangkan potensi kemahiran belia.

“Usahawan juga akan terlahir daripada program ini memandangkan hadiah utama kepada pemenang adalah pusat pembaikan sehenti yang bernilai sehingga RM1 juta,” katanya.

Program Master Auto – The Mechanic Malaysia mahu menggalak golongan belia menyertai industri automotif.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran IKTBN Dusun Tua sebagai lokasi penggambaran rasmi program realiti TV Master Auto – The Mechanic, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Merpati World Holdings Berhad, Datuk Seri Zainal Abidin A. Hamid berkata, pihaknya bersetuju untuk menjadi penaja kepada program tersebut kerana melihat bidang mekanik sebagai satu kerjaya yang luas dan berpotensi.

“Saya yakin program realiti TV Master Auto – The Mechanic ini akan menjadi satu perintis anak muda ke arah kerjaya mekanik yang cerah di masa akan datang.

“Saya juga dimaklumkan sudah ada beberapa stesen TV yang berminat untuk bersama kita dan sedang di dalam perbincangan peringkat akhir,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here