Hamizan Puteh menghasilkan jenama FarahAlya selepas beliau sukar mencari pakaian yang menepati cita rasanya di pasaran.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

PUASA baru bermula, sudah kecoh fikirkan baju raya apa nak dipakai nanti. Biasalah naluri untuk berdandan pada hari istimewa tidak dapat dielak.

Begitu juga bila nak membeli pakaian, kalau boleh nak tengok fesyen apa yang trending dari segi rekaan dan warna. Itulah sifat wanita, bila berbicara soal fesyen.

Bagi wanita yang lebih mengutamakan keselesaan, elegan dan yang penting menutup aurat, tak perlu serabut kepala kerana jenama FarahAlya mampu memenuhi kehendak pelanggan terutamanya bagi wanita Muslim.

Rekaan jenama FarahAlya begitu feminin untuk mereka yang suka simple.

Pengasas jenama FarahAlya, Datin Hamizan Puteh amat memahami masalah sesetengah wanita yang sukar mendapatkan pakaian berfesyen tapi menepati ciri-ciri Muslimah.

“Saya suka berfesyen tapi apa yang saya dapati di pasaran agak payah untuk mendapatkan pakaian yang menepati cita rasa saya iaitu sopan.

“Jadi saya fikir kenapa tidak saya sendiri yang mengeluarkan jenama pakaian sendiri. Setidaknya saya tahu apa yang dimahukan oleh golongan wanita,” kata Hamizan mengeluarkan pakaian jenama FarahAlya berdasarkan pengalamannya.

Meskipun hasrat untuk mengeluarkan rekaan sendiri sudah lama terpendam, namun beliau tidak tergesa-gesa melaksanakan impiannya itu.

Hamizan mengambil masa setahun untuk mengkaji apa yang disukai dan tidak disukai oleh golongan wanita tentang fesyen sebelum melancarkan jenama sendiri.

“Alhamdulillah, saya beruntung mendapat pasukan yang banyak membantu sejak awal lagi sehingga terbinanya jenama FarahAlya ini di pasaran,” ujarnya.

Menurut Hamizan, nama FarahAlya dipilih sempena nama anak sulungnya yang kini menuntut di Australia.
Setiap keluaran pakaian FarahAlya adalah amat terhad kuantitinya kerana dunia fesyen cepat berubah.

Begitu juga dengan rekaan pertama yang dinamakan Zyzah sempena dengan nama ibunya. Design ini mempunyai lima pilihan warna dan empat saiz iaitu S, X, M dan XL.

“Untuk design Zyzah ini pihak kami menggunakan tukang jahit tempatan dan secara tidak langsung dapat membantu mereka untuk menjana ekonomi dalam keadaan pendemik ini.

“Bagi setiap rekaan, kami hanya mengeluarkan 1,000 helai sahaja dan merancang untuk mengeluarkan rekaan yang baharu setiap dua atau tiga bulan sekali bergantung kepada permintaan.

“Buat masa ini, pihak kami hanya menjalankan perniagaan dalam talian sahaja menggunakan website www.farahalya.com dan juga Instagram @farahalya_hq memandangkan medium ini adalah kaedah yang terbaik pada ketika ini,” jelasnya.

Fesyen elegan yang sesuai dan selesa untuk wanita berhijab keluaran FarahAlya.

Sebenarnya Hamizan bukanlah orang baharu dalam dunia perniagaan dan beliau berpengalaman luas dalam bidang fesyen.

Katanya, biarpun bidang perniagaan penuh dengan cabaran, namun beliau mampu menempuhinya kerana sokongan daripada suami, ahli keluarga dan juga kakitangan yang setia selama ini bersamanya.

“Tanpa mereka saya tidak mampu untuk melaksanakan semua ini. Terima kasih kepada suami, anak-anak kerana memahami kesibukan saya sejak dari hujung tahun lepas lagi untuk jenama FarahAlya ini. Semoga FarahAlya mampu bersaing dengan jenama besar yang lain,” katanya.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here