Dari kanan, Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Hussamuddin Yaacub dan pengacara pada majlis pelancaran program Ramadan dan Syawal, baru-baru ini.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SETIAP kali Ramadan menjelma, pasti kita memanjatkan rasa syukur kerana Allah masih memberi peluang untuk kita menikmati keberkatan bulan yang mulia ini.

Bersempena Ramadan tahun ini, TV AlHijrah sebagai stesen yang sentiasa mendidik dan menyatupadukan ummah menerusi siarannya, menyediakan 24 program baharu termasuk dokumentari, rancangan kanak-kanak, komedi, masakan, kerohanian serta filem.

Menurut Pengerusi TV AlHijrah, Datuk Hussamuddin Yaacub, tahun ini, TV AlHijrah memilih untuk mengajak penonton menghayati Ramadan dan Syawal dengan mengangkat tema Andai Ini Ramadan Terakhir dan Andai Ini Syawal Terakhir sepanjang tempoh dua bulan ini.

HussamuddinYaacub berharap orang ramai dapat menjadikan program TV AlHijrah sebagai pengisian ilmu kerohanian mereka.

Katanya, TV AlHijrah telah menyediakan pelbagai program menarik bagi memenuhi ruang rohani penonton sepanjang Ramadan dan Syawal ini. Semua program ini disusun rapi dan teliti agar objektif untuk mendidik jiwa, menghiburkan dan memberi pengajaran dapat dicapai sepenuhnya.

“Kempen Andai Ini Ramadan Terakhir dan Andai ini Syawal Terakhir didokong tiga inisiatif utama stesen. Inisiatif pertama adalah penerbitan dan penyiaran program seperti ialah Ihya’ Ramadan, My #QuranTime, My #HadithTime, Hijrah Berselawat, Aura Al-Qadar, Camca, Hijrah Skuad, dan Ittabiouni.

“Program yang akan menghiasi Syawal pula adalah bual bicara sitkom Tau Tau Dah Raya, program Komedi Pentas Raya, Raya Juga, Telefilem Bapa Posa Anak Raya, dokumentari Sudirman Chow Kit Road, program masakan Camca edisi Syawal, filem Perempuan Berkalong Sorban dan banyak lagi,” katanya pada majlis pelancaran program Ramadan dan Syawal, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, inisiatif kedua adalah menerusi platform digital TV AlHijrah. Untuk itu tim media digital TV AlHijrah mengambil langkah kreatif dan proaktif dengan menerbitkan tiga rancangan istimewa khusus buat pelayar laman Facebook stesen ini.

Rancangan tersebut adalah Sabar With Sabran (tazkirah pendek), Ah-Liow Kitchen (rancangan masakan menu kaum Cina) dan juga video tinjauan orang ramai (Vox-Pop) bagi mendapatkan pendapat mereka seandainya ini adalah Ramadan terakhir.

Selain itu, platform digital TV AlHijrah turut menganjurkan pertandingan menulis esei Andai Ini Ramadan Terakhir yang menawarkan hadiah menarik buat pemenang bertuah.

Inisiatif ketiga yang dilaksanakan TV AlHijrah adalah program tanggung jawab sosial korporat (CSR) iaitu Skuad Bubur Lambuk TV AlHijrah. Tahun ini, TV AlHijrah memilih untuk menyantuni masyarakat, dakwah melalui frontliner.

“Agihan bubur lambuk resipi istimewa Kampung Baru itu menggunakan khidmat sepuluh orang rider motosikal yang akan membuat edaran di lokasi tumpuan ramai sekitar Kuala Lumpur dan Selangor seperti di Hospital Besar Kuala Lumpur, kawasan sekitar Chow Kit, stesen LRT dan masjid-masjid terpilih.

“Sambil membuat edaran, secara tidak langsung kita turut membuka ruang pekerjaan sampingan buat penghantar barang (rider) yang terkesan pendapatannya dek penangan pandemik Covid-19,” jelasnya.

Hussamuddin turut menyeru orang ramai menjadikan TV AlHijrah sebagai stesen pilihan seisi keluarga serta ladang ilmu yang mampu menjadi bekalan di akhirat kelak andainya ini adalah Ramadan dan Syawal terakhir kita semua.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here