Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar (tiga dari kanan) dan Chris Bush (dua dari kanan) pada majlis pelancaran penjenamaan semula Giant di Kota Damansara di sini hari ini. Foto Ihsan Giant

Oleh Nafsiah Jani

PASAR raya besar Giant kini berwajah baharu melibatkan penjenamaan semula semua 57 cawangan Giant di seluruh negara termasuk menukar logo dan penampilan baharu kakitangannya serta pembukaan 10 Giant Mini.

GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, anak syarikat Dairy Farm International memperkenalkan wajah baharu pasar raya besar Giant dengan memfokuskan kepada penjualan produk segar dan berkualiti dengan pelaburan sebanyak RM25 juta.

Pembaharuan ini juga melibatkan pelancaran lebih 2,000 produk baharu merangkumi makanan segar, barang keperluan harian dan kelengkapan rumah serta produk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain stor Guardian di Giant terpilih.

Antara penambahbaikan yang dilakukan termasuk bahagian World of Food dengan memperbanyakkan variasi pilihan makanan merangkumi produk dari luar negara seperti United Kingdom, Australia, New Zealand, Thailand dan Jepun serta keluaran tempatan.

Giant juga turut menyediakan bahagian baharu iaitu Zon Ringgit yang menawarkan pelbagai barangan kelengkapan dapur, penjagaan diri dan makanan ringan pada harga serendah RM3.

Ketua Pegawai Eksekutif Makanan Asia Tenggara Dairy Farm, Chris Bush berkata, walaupun sedang berlaku pandemik Covid-19, pihaknya berpendapat ia waktu yang sesuai untuk kekal menjadi peneraju pembekal makanan di Malaysia.

“Kami menawarkan ratusan produk baharu di bahagian makanan segar dengan memastikan kualiti yang tinggi, spesifikasi baharu serta pendekatan sumber baharu dalam usaha membawa pelanggan kepada pengalaman membeli-belah yang mengujakan.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran wajah baharu Giant, di Giant Kota Damansara, baharu-baharu ini. Turut hadir, Pengerusi Jardines Matheson Country, Rossana Annizah. Perasmiannya disempurnakan Ahli Lembaga Pengarah GCH Retail Malaysia, Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar.

Mengulas mengenai Giant Mini, Bush menambah, ia sebagai pengembangan operasi di premis yang bersaiz antara 800 kaki persegi hingga 1,000 kaki persegi tidak lama lagi dengan menawarkan produk-produk terpilih.

“Pembukaan cawangan ini akan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana untuk memasarkan produk mereka.

“Seiring dengan pengembangan operasi Giant Mini di negara ini, kami mahu menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini, sekali gus membantu melonjakkan semula ekonomi negara selepas pandemik Covid-19.’’

Kata Bush lagi, pihaknya akan memperkenalkan kira-kira 300 produk baharu di bawah jenama Meadows dalam tempoh antara dua hingga tiga bulan akan datang.

“Bagi segmen barangan segar, Giant kini mendapatkan produk secara terus daripada peladang tanpa menggunakan orang tengah bagi menjamin kesegaran produk serta harga mampu milik.

“Diharap dengan penjenamaan ini dapat memberikan kepuasan dan keselesaan kepada pelanggan untuk berbelanja.’

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here