Oleh Yusoff Ahmad Shariff

GRAB, syarikat penghantaran makanan dan teksi e-hailing dominan di Asia Tenggara bersedia untuk disenaraikan dalam pasaran saham Amerika Syarikat pada nilai hampir RM165 bilion (AS$40 bil).

Saham akan diniagakan berikutan penggabungan dengan syarikat AS, Altimeter Growth Corp, lapor bbc.com.

Grab akan memperoleh lebih AS$4 bilion berikutan transaksi tersebut yang dijangka siap pada Julai depan.

Penyenaraian itu bakal muncul sebagai tawaran awam terbesar di AS oleh sebuah syarikat Asia Tenggara.

Ketua Eksekutif Altimeter Capital Brad Gerstner berkata syarikatnya tertarik dengan Grab memandangkan ia berada di antara tempat teratas landskap ekonomi dunia yang semakin dikuasakan oleh teknologi.

Beliau berkata syarikatnya telah lama menyaksikan bagaimana keuntungan dan pertumbuhan teknologi sebegitu menonjol di AS, China, Eropah dan Amerika Latin, dan sekarang di pasaran Asia Tenggara.

Gerstner turut membandingkan keupayaan dan status Grab dengan cara ‘menggabungkan keupayaan Uber, Doordash dan Ant Financial dalam satu aplikasi.’

Beliau berkata keupayaan Grab kini meletakkan syarikat dan aplikasi tersebut di persada transformasi digital wilayah Asia Tenggara.

Grab dilancarkan pada 2012 oleh Anthony Tan, 39, dan rakannya graduan Harvard Business School, Tan Hooi Ling sebelum berkembang ke serata Asia Tenggara.

Syarikat dan aplikasi yang bernilai AS$16 bilion pada tahun lalu itu merupakan pertaruhan berharga  bagi bank-bank yang menyokong, termasuk Softbank Group Corp dan Didi Chuxing China.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here