KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi, hari ini menetapkan 25 Mei untuk memberikan keputusan mengenai jumlah ganti rugi yang akan diberikan kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam saman fitnahnya terhadap penulis blog, Raja Petra Kamarudin berhubung dakwaan rasuah dalam projek terowong dasar laut negeri itu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Arief Emran Arifin menetapkan tarikh keputusan itu yang akan disampaikan melalui aplikasi Zoom, selepas mendengar keterangan dan hujah Lim dari peguamnya, Simon Murali.

Lim sebelum ini memperoleh penghakiman ingkar terhadap Raja Petra tahun lalu selepas penulis blog tersebut gagal memasukkan kehadiran di mahkamah.

Pasukan perundangannya juga membuat permohonan kepada mahkamah untuk serahan ganti notis saman yang diiklankan Lim di tiga akhbar pada 10 Feb tahun lalu. Raja Petra gagal memberikan maklum balas terhadap notis saman itu menyebabkan Lim memfailkan penghakiman ingkar.

Arief juga mengarahkan Simon untuk memfailkan permohonan tambahan mengikut kelaziman dalam ganti rugi mahkamah membabitkan kes fitnah.

“Saya boleh berikan amaun yang munasabah, dengan mempertimbangkan dia (Lim) adalah bekas menteri kewangan dan ketua menteri dan sejauh mana penerbitan (kenyataan fitnah itu),” katanya.

Terdahulu, Arief bertanya kepada Lim jumlah ganti rugi yang dituntut daripada Raja Petra.

“Sekurang-kurangnya RM10 juta untuk setiap artikel,” kata Lim, sambil menambah Raja Petra menerbitkan 10 artikel dakwaan rasuah dalam projek terowong dasar laut itu.

Ini mendorong Arief berkata: “Itu banyak, Tuan Lim.”

Arief: Sejauh mana reputasi anda tercemar?

Lim: Tidak terkira. Tetapi terserah kepada mahkamah untuk memutuskan jumlahnya.

Pada 6 Sept 2019, Lim menuntut ganti rugi, permohonan maaf di muka hadapan dan injunksi bagi menghalang Raja Petra daripada mengulangi dakwaan itu yang terkandung dalam satu siri artikel bertajuk “From the MACC Files” yang diterbitkan pada 24 Feb dan 15 Mac tahun yang sama.

Dalam penyataan tuntutannya, Lim menuntut ganti rugi teladan atas hujahan bahawa Raja Petra “mendapat keuntungan daripada jumlah pembaca artikel terbabit yang ramai” dan keuntungan itu mungkin lebih banyak daripada “jumlah ganti rugi” yang mungkin dianugerahkan kepadanya.

Peguam Lim cuba menyerahkan writ saman dan penyataan tuntutan kepada Raja Petra melalui perkhidmatan peribadi di alamat terakhir penulis blog itu yang diketahui di Sungai Buloh, namun gagal.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/14/guan-eng-mahu-jutaan-ringgit-sebagai-ganti-rugi-dakwaan-rasuah-terhadap-penulis-blog/
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here