KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Klang mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap empat individu, termasuk seorang pengawal peribadi selama lima hingga tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pukul dua pengawal peribadi oleh majikan kerana berpuasa.

Terdahulu, Polis Klang Selatan mengesahkan satu laporan pos diterima di Balai Polis Klang semalam berkaitan dua lelaki Melayu dipukul secara bergilir-gilir di belakang badan dengan sebatang rotan oleh majikannya dan juga seorang lagi pekerja.

Sehubungan itu, empat lelaki yang disyaki telah ditangkap dan semua suspek akan direman di Mahkamah Klang hari ini (15 April).

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan 298 Kanun Keseksaan, demikian menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Shamsul Amar Ramli dalam satu kenyataannya.

Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku semasa lelaki tersebut berada di rumah majikannya di Bukit Tinggi, Klang. Kejadian dipercayai berpunca daripada majikan memarahi mangsa kerana berpuasa.

Menurut polis, majikan lelaki tersebut juga mengacukan pistol ke arah mangsa dan mengeluarkan ugutan yang menghina agama.

Shamsul Amar berkata, kes berkenaan tidak melibatkan sebarang isu perkauman dan meminta supaya tiada pihak menyalah gunakan media sosial dengan berkongsi sebarang provokasi yang menyentuh sensitiviti perkauman sehingga menjejaskan keharmonian kaum.

Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang bertindak di luar batasan undang-undang.

– BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here