MARIA Kamal bersama kek Lapis Masam manisnya.

Oleh Ahmad Abd Hamid

RAMAI kenal beliau sebagai pelakon dan penyanyi. Tetapi mungkin tidak ramai tahu Maria Kamal, 67, adalah seorang pembuat kek lapis yang hebat. Kemahirannya membuat kek lapis yang enak menyelerakan menawan hati ramai pelanggan.

Tiga jenis kek lapis buatannya yang menjadi kesukaan ramai ialah perisa prune, asam manis dan kek rempah Betawi. Kesemuanya ‘home made’, lembut dan sedap. Sekali rasa memang mahu lagi.

Setiap satu kek beratnya lebih kurang 1.5 kilogram dengan ukuran 8”x8” (20.3cm x 20.3cm). Setiap satu berharga RM85. Maria hanya menjual kek dalam saiz standard ini sahaja, tidak ada dalam saiz lain.

Kek lapis ini sesuai untuk hidangan di rumah, untuk hantaran, majlis-majlis keraian seperti kenduri kendara atau hari jadi, atau hari perayaan seperti hari raya.

Maria memberitahu, beliau memulakan bisnes membuat kek lapis sejak 10 tahun lalu apabila tawaran berlakon dan menyanyi semakin berkurangan. Oleh itu beliau perlu mencari sumber rezeki lain untuk menampung kehidupan.

Beliau menggunakan kemahiran semula jadi membuat kek sebagai sumber rezeki alternatif. Dengan itu bermulalah bisnes menjual Kek Lapis Maria Kamal yang kian hari kian popular dan mendapat sambutan hangat daripada pelanggan di merata tempat.

“Kek lapis ini rekaan sendiri dengan resipi sendiri dan dihasilkan dengan kebolehan sendiri. Saya juga menghasilkannya sendiri tanpa pembantu,” kata Maria yang beroperasi dari rumahnya di Cheras, Kuala Lumpur.

KEK Lapis berperisa prune.

Menurutnya, pesanan pelanggan jauh dan dekat banyak diterima secara online. Pesanan yang siap kemudian dihantar menggunakan Pos Laju atau bas.

Menurut Maria, ramai pelanggannya membuat pesanan ulangan atau repeat orders. Ini menggembirakannya kerana ia menunjukkan pelanggan berpuas hati dan suka dengan rasa kek buatannya.

Beliau memberitahu, harga RM85 bagi sebiji kek lapis tidak berubah walau pun jika bahan untuk membuat kek melambung. Baginya harga tersebut sebagai penghargaan kepada pelanggan yang sentiasa memberi sokongan.

“Walau pun harga bahan naik, harga kek saya tetap sama. Cukuplah dengan apa yang saya peroleh. Saya bersyukur dengan rezeki pemberian Allah,” kata Maria.

Beliau yang berasal Besut, Terengganu memberitahu, jualan kek adalah sepanjang masa dan berdasarkan tempahan. Tempahan biasanya tidak putus.

Tempahan biasanya akan meningkat pada musim perayaan seperti Hari Raya atau jika ada keramaian atau majlis tertentu. Pada musim hari raya, Maria boleh menjual sehingga 300 biji kek.

Bagi musim Aidilfitri tahun ini, Maria mengingatkan mereka yang ingin membuat pesanan supaya segera berbuat demikian untuk memudahkan proses penyediaan bahan dan kek dapat dihantar menepati waktu.

Mengimbau masa lalu, Maria memberitahu, beliau aktif berlakon dan menyanyi sekitar tahun 1986. Beliau pernah menyertai Bintang RTM sezaman dengan arwah Sudirman Haji Arshad. Mulai dari situlah namanya mula dikenali.

Anak keempat daripada lima beradik itu juga pernah menyanyi sebagai artis Radio Pantai Timur ketika berusia 16 tahun dan masih bersekolah. Beliau juga pernah menyanyi dalam program TV RTM, Hiburan Malam Minggu.

Maria juga pernah menyanyi di stage show dan kelab malam suatu ketika dahulu. Beliau juga pernah menjadi artis jemputan pada Konsert Anita Sarawak 2 di Stadium Merdeka.

Maria banyak berlakon melalui RTM. Jika masih ingat drama Hang Setia, tentu anda perasan Maria adalah salah seorang pelakonnya. Beliau mengikat kontrak untuk 300 episod drama tersebut untuk lima tahun.

Selain itu beliau membintangi sebuah filem, Cinta Rose Villa, serta drama swasta terbitan HVD dalam siri Spectra yang popular di kaca RTM suatu ketika dahulu.

“Kesemua kenangan menyanyi dan berlakon adalah kenangan sepanjang hayat yang tidak boleh dilupakan sewaktu bergelar sebagai artis,” kata Maria.

Kini masa dan tenaganya ditumpukan kepada membuat kek lapis. Beliau menaruh harapan suatu hari nanti akan mampu membuka kilang kek lapis dan mengeksportnya ke pasaran antarabangsa.

Kepada mereka yang ingin menikmati keenakan kek lapis buatan tangan Maria Kamal  bolehlah menghubunginya melalui talian 019-3421016 untuk tempahan. Sekali rasa pasti tak lupa.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here