Oleh Yusoff Ahmad Shariff

SEKUMPULAN wartawan BBC telah dibenarkan membuat liputan di wilayah Afghanistan yang dikuasai oleh Taliban.

Menurut mereka perjalanan melewati kawasan di bawah penguasaan Taliban tidak memakan masa yang lama, hanya kira-kira 30 minit dari Mazar-e-Sharif di bahagian utara.

Di sepanjang jalan kelihatan lubang-lubang besar akibat bom yang dipasang di tepi jalan.

Kumpulan wartawan itu dibawa bertemu dengan datuk bandar tidak rasmi Taliban daerah Balkh, Haji Hekmat.

Beliau yang memakai haruman atar dan berserban hitam merupakan seorang veteran pergerakan militan Taliban yang disertainya pada 1990an.

HAJI Hekmat, Datuk bandar tidak rasmi Taliban.

Menjangka lawatan kumpulan wartawan itu pihak Taliban telah mengatur seakan pertunjukan dengan anggota pejuang sarat bersenjata berbaris di kedua-dua belah jalan raya.

Antara mereka ada yang menggalas senjata pelancar bom tangan RPG dan ada yang bersenjatakan senapang M4 hasil rampasan daripada tentera Amerika yang ditawan.

Pada suatu masa dahulu Balkh dianggap sebuah wilayah Afghanistan yang stabil, tetapi kini telah menjadi antara zon paling ganas dan berbahaya.

“Kami akan menangkap mereka, bawa mereka terus ke penjara sebelum dibicarakan di mahkamah dan kemudian akan memutuskan apa tindakan diambil ke atas mereka.”

Seorang pegawai pemerintah militan tempatan yang dikenali sebagai Baryalai menunjukkan kepada kumpulan wartawan itu ke arah hujung jalan di mana menurutnya tentera kerajaan Afghanistan berkumpul berhampiran sebuah pasar, tetapi mereka tidak dibenarkan keluar dari pangkalan kerana kawasan tersebut dimiliki oleh puak Mujahideen.

Begitulah keadaannya di sebahagian besar Afghanistan sekarang – pihak kerajaan menguasai bandar raya dan bandar besar, tetapi di kepung oleh puak Taliban yang turut menguasai kebanyakan wilayah pedalaman.

Pihak Taliban mengukuhkan penguasaan mereka melalui sekatan jalan raya di beberapa jalan utama. Semua kenderaan yang lalu diarah berhenti dan pemandu serta penumpang dihujani pelbagai soalan.

Ketua perkhidmatan perisikan Taliban Aamir Sahib Ajmal berkata tujuan sekatan ialah bagi mencari sesiapa yang mempunyai kaitan dengan kerajaan.

FOTO: BBC.

Dia berkata, “Kami akan menangkap mereka, bawa mereka terus ke penjara sebelum dibicarakan di mahkamah dan kemudian akan memutuskan apa tindakan diambil ke atas mereka.”

Haji Hekmat yakin bahawa puak Taliban telah mengalahkan tentera Amerika.

Bagaimana pun keputusan Presiden AS Joe Biden untuk menangguhkan pengunduran baki tentera Amerika hingga September depan bermakna AS akan terus berada di Afghanistan hingga selepas tarikh akhir 1 Mei depan yang dipersetujui tahun lalu.

Penangguhan itu telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan barisan kepimpinan politik Taliban, namun yang nyata sekarang momentum memihak kepada mereka.

“Kami bersedia untuk menerima keamanan, dan kami juga bersedia untuk berjihad.”

Haji Hekmat berkata pihak Taliban bersedia menghadapi apa sahaja. “Kami bersedia untuk menerima keamanan, dan kami juga bersedia untuk berjihad.”

Bagaimana pun, sejak setahun lalu terdapat percanggahan dalam pengertian ‘jihad’ Taliban itu. Walaupun mereka telah menghentikan serangan ke atas tentera bersekutu antarabangsa berikutan perjanjian dengan AS, namun mereka terus berperang dengan kerajaan Afghanistan.

Haji Hekmat menafikan kononnya berlaku percanggahan dalam pendirian mereka.

“Kami mahukan sebuah kerajaan Islam berasaskan undang-undang Syariah. Kami akan berjuang sehingga mereka menerima syarat kami,” katanya lagi.

Ditanya sama ada pihak Taliban bersedia untuk berkongsi kuasa dengan puak politik Afganistan lain, beliau berkata soalan itu ditentukan oleh kepimpinan politik Taliban di Qatar. “Apa jua mereka putuskan kami akan terima,” katanya berkali-kali.

Pihak Taliban tidak hanya menganggap diri mereka sebagai pejuang militan, tetapi juga sebagai kerajaan-dalam-penantian. Mereka menggelar diri sebagai “Negara Emiriah Afghanistan”, iaitu nama yang digunakan sejak memperoleh kuasa bermula pada 1996 sehingga dikalahkan selepas peristiwa serangan 9/11 di New York.

Kini struktur ‘pemerintahan’ mereka dianggap agak sofistikated dengan pelantikan pegawai-pegawai bertanggungjawab menjaga perkhidmatan awam di wilayah yang dikuasai.

Haji Hekmat membawa kumpulan wartawan tersebut ke sebuah sekolah rendah dipenuhi kanak-kanak lelaki dan perempuan yang sedang sibuk menulis pada buku teks hasil sumbangan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ketika memegang kuasa pada 1990an puak Taliban telah mengharamkan pendidikan untuk kaum wanita, tetapi fakta ini dinafikan mereka. Hingga sekarang pun beberapa laporan menunjukkan bahawa di sesetengah kawasan anak perempuan yang lebih tua tidak dibenarkan menghadiri kelas. Bagaimana pun, di sekolah ini ia digalakkan.

Mawlawi Salahuddin yang bertanggungjawab ke atas suruhanjaya pendidikan Taliban berkata, “kanak-kanak perempuan dibenarkan ke sekolah jika memakai hijab, kerana pendidikan itu penting bagi mereka.” Beliau berkata di sekolah menengah hanya guru wanita dibenarkan dan pemakaian hijab diwajibkan. “Tiada masalah jika mereka mematuhi Syariah.”

Bagaimana pun sumber tempatan memberitahu kumpulan wartawan tersebut bahawa kelas seni lukis dan kewarganegaraan dilarang, dan digantikan dengan subjek Islam.

Kerajaan Afghanistan membayar gaji staf dan guru, tetapi segala-gala yang lain dikuasai oleh Taliban dalam suasana hibrid yang ketara dilihat di serata negara itu.

Ditanya sama ada puak Taliban menghantar anak mereka ke sekolah Salahuddin berkata “anak saya masih kecil, tetapi apabila besar saya akan menghantarnya ke sekolah dan madrasah selagi syarat pemakaian hijab dan syariah dipatuhi.”

Kerajaan Afghanistan membayar gaji staf dan guru, tetapi segala-gala yang lain dikuasai oleh Taliban dalam suasana hibrid yang ketara dilihat di serata negara itu.

Di klinik berhampiran yang dikendalikan oleh sebuah badan amal ceritanya agak sama. Pihak Taliban membenarkan kakitangan wanita bekerja, tetapi mereka perlu diiringi lelaki pada waktu malam, sementara pesakit wanita dan lelaki pula sentiasa diasingkan.

Cara kumpulan wartawan itu dilayan sepanjang lawatan itu jelas menunjukkan bahawa puak Taliban mahukan imej positif mereka di bawa kepada dunia.

Namun demikian persoalan berhubung hak asasi wanita terus membelenggu di Afghanistan kerana puak Taliban tidak membenarkan kaum wanita diwakili sejak 1990an di mana mereka langsung tidak dibenarkan bekerja di luar rumah.

Dengan pengawasan pegawai Taliban setiap saat kumpulan wartawan itu sempat bercakap dengan beberapa orang awam. Kesemuanya berkata mereka menyokong dan amat berterima kasih kepada pihak Taliban kerana menjaga keselamatan awam dan mengurangkan jenayah.

“Semasa kerajaan berkuasa mereka terlalu mudah memenjarakan orang dan kemudian meminta rasuah untuk membebaskan mereka,” jelas seorang warga emas lelaki. “ Orang ramai amat menderita, tetapi sekarang kami berasa gembira dan selesa dengan keadaan.”

Nilai-nilai ultra konservatif Taliban tidak dapat lari daripada pertembungan di kawasan bandar di mana penduduk tidak inginkan cara pemerintahan ganas Emiriah Islam 1990an yang mengekang kebebasan.

Seorang penduduk yang enggan dinamakan berkata sebenarnya cara Taliban lebih teruk daripada yang dinyatakan oleh beberapa orang kepada kumpulan wartawan itu sebelum ini . Dia berkata penduduk kampung amat takut ditempeleng atau dipukul hanya kerana mencukur kepala atau mendengar muzik. “Oleh itu kami tidak mempunyai pilihan selain menurut sahaja apa kemahuan mereka, kerana kesilapan kecil boleh dikenakan tindakan ganas. Kami takut.”

Kesimpulannya perkembangan selepas pengunduran sepenuhnya tentera Amerika dan antarabangsa dinantikan dengan debaran oleh penduduk Afghanistan kerana mereka berasa gerun sekiranya puak Taliban berjaya menjatuhkan kerajaan dan memerintah negara itu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here