Rozzana Rahmat (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima dari kawasan Taman Maluri.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

BULAN Ramadan bukan setakat menahan lapar dahaga dan hawa nafsu, sebaliknya, umat Islam juga digalakkan untuk bersedekah kerana ia adalah sunah Nabi.

Berpegang kepada prinsip itulah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ihsan Rakyat, Datuk Rozzana Rahmat, berusaha untuk berkongsi rezeki yang diperolehnya dengan orang ramai.

Menurut Rozzana, beliau telah mula memberi sumbangan kepada orang ramai mengikut kemampuan dan keupayaannya sejak enam tahun lalu, bermula dari rumah ke rumah.

Tahun ini sempena Ramadan, Yayasan Ihsan Rakyat dengan kerjasama Pertubuhan Gerakan Prihatin Malaysia menganjurkan Program Kasih Ramadan 1442H.

“Yayasan ini saya tubuh sendiri dengan izin Allah, bertujuan untuk membuat kebaikan dan berinfak. Dana dalam Yayasan ini adalah hasil daripada saya sendiri dengan rezeki yang diberi Allah.

“Saya tak ada buat kutipan daripada mana-mana pihak. Saya adalah usahawan kecil-kecilan. Apa rezeki Allah kurniakan kepada saya adalah menjadi tanggungjawab saya untuk salurkan kepada orang lain. Rezeki ini adalah daripada perniagaan saya dan keluarga sedikt sebanyak.

Seramai 60 orang telah menerima sumbangan daripada Yayasan Ihsan Rakyat sempena Program Kasih Ramadan 1442H.

“Saya cuba untuk bersedekah dan berdakwah ke jalan Allah mengikut kemampuan. Saya sentiasa tetapkan 20 peratus adalah untuk zakat, 70 peratus lagi untuk saya berinfak. Selebihnya adalah untuk keperluan saya. Alhamdulillah, rezeki itu semua Allah yang bagi kerana dalam rezeki saya ada rezeki orang lain. Sedekah ini adalah pencetus barakah bagi saya,” katanya yang ditemui di Masjid Al-Imam Ash-Shafie, Taman Maluri sewaktu menjayakan Program Kasih Ramadan, pada Khamis, 15 April.

Jelas Rozzana, beliau adalah pengusaha agensi pelancongan, namun sejak setahun lalu sektor pelancongan tidak bergerak kerana Covid-19. Namun, rezekinya tetap ada kerana Rozzana turut mengendalikan beberapa perniagaan lain secara kecil-kecilan.

Tambahnya, sepanjang Ramadan ini, pasukan petugas Yayasan Ihsan Rakyat yang dikenali sebagai My#InfaqIhsan telah mengatur beberapa siri infak.

Rozzana turut mewakaf al-Quran kepada Masjid Al-Imam Ash-Shafie yang diwakili oleh pengerusinya, Datuk Kamaruddin Mohamad Shah (kanan).

Pada Ramadan ketiga ini, pasukan petugas telah menyantuni 60 golongan asnaf yang dikenal pasti di sekitar Taman Maluri untuk menerima sumbangan barangan asas seperti beras, tepung, gula, minyak, sardin, Milo dan Maggi.

“Saya bersyukur kerana diberi kesempatan pada Ramadan ketiga untuk menunaikan tanggungjawab saya sebagai khalifah iaitu menginfak keperluan asas kepada penerima sumbangan dan mewakafkan al-Quran kepada jemaah masjid ini.

“Selain itu, ada sedikit sumbangan wang kepada pihak masjid kerana bencana yang menimpa masjid baru-baru ini, di mana kubah masjid rosak akibat angin kuat.

“Selepas ini pasukan kami akan memberi sumbangan kepada 60 orang asnaf termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) di Kampung Baru pula. Diharap penerima gembira dengan sumbangan kami yang kecil ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya,” katanya tulus.

Jelas Rozzana, pasukan My#InfaqIhsan telah mengatur beberapa siri sumbangan untuk golongan yang memerlukan. Katanya, pada 17 April ini, mereka akan menyantuni kira-kira 60 golongan asnaf di Grik, Perak.

Bersama tenaga kerja yang menjayakan Pogram Kasih Ramadan tahun ini.

“Kami dah buat perancangan akan turun ke selatan iaitu Melaka dan Kluang, Johor. Kami juga akan turun ke Pantai Timur. Jika diizinkan setiap tempat yang kami pergi itu, dalam sehari dapat melakukan dua sesi sumbangan.

“Di penghujung Ramadan nanti kami akan buat program berbuka puasa dengan anak-anak yatim,” jelasnya tentang jadual program Program Kasih Ramadan 1442H yang menyantuni 120 penerima dengan setiap pek barangan bernilai kira-kira RM100.

Penerima sumbangan di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Yayasan Ihsan Rakyat memberi sumbangan kepada golongan asnaf OKU dan peniaga di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here