Oleh Arrazzaq Nazri

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan beberapa kes yang melibatkan laman web Maybank2u palsu yang telah digunakan oleh sindiket untuk menipu mangsa sehingga mengakibatkan kerugian hingga mencecah puluhan ribu ringgit.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, kaedah perbankan secara online disediakan untuk memudahkan urusan namun ia dimanipulasikan oleh sindiket penipuan melalui pewujudan laman web palsu menyerupai laman web asal milik bank berkaitan.

“Dalam kes-kes ini, mangsa akan menerima e-mel yang kononnya daripada pihak Maybank menyatakan bahawa akaun bank mereka mempunyai masalah keselamatan dan mangsa kemudiannya diminta untuk menekan pautan yang disertakan dalam e-mel tersebut.

“Setelah mangsa menekan pautan tersebut mereka akan dibawa ke laman web palsu yang kelihatan seperti web Maybank2u dan dikehendaki mengemaskini butiran peribadi, kata laluan serta nombor telefon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainuddin berkata, tidak lama selepas kemaskini dibuat, mangsa kemudiannya akan mendapati wang di dalam akaun bank milik mereka berkurangan.

Beliau berkata, dalam kes terbaharu, pautan laman web palsu tersebut diperolehi mangsa menerusi iklan cabutan bertuah Maybank yang dipaparkan melalui laman media sosial Facebook.

“Berdasarkan rekod, PDRM telah menerima empat laporan melibatkan kes-kes penipuan melalui laman web Maybank2u palsu melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM22,300.

“Sehubungan itu, orang ramai diingatkan untuk sentiasa berhati-hati agar tidak menjadi mangsa kepada sindiket penipuan sebegini,” ujar beliau.

Zainuddin berkata, pengguna harus pastikan alamat URL yang dipaparkan bagi laman web Maybank2u yang dibuka adalah benar-benar sama dengan alamat laman web Maybank2u sebenar dan berhubung dengan pihak bank sekiranya menerima e-mel yang mengarahkan pelanggan untuk membuat sebarang kemaskini.

Mengulas lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-2610559 atau 03-26101599 sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan atau keraguan berkaitan sesuatu urusan yang disyaki ada kaitan dengan penipuan.-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here