FOTO: Aziz A. Shariff.

POLIS kini semakin mengetatkan kebenaran untuk orang ramai melakukan perjalanan rentas negeri ketika jumlah kes baru Covid-19 menunjukkan peningkatan ketara.

Ia juga dibuat selepas timbul rasa tidak puas hati orang awam terhadap sesetengah pihak yang dipercayai menyalahgunakan kebenaran yang diberi pihak berkuasa untuk perjalanan seumpama itu.

Berdasarkan notis yang bertarikh hari ini dan dilihat di Balai Polis Bandar Presint 1 Putrajaya pihak berkuasa hanya memberikan kebenaran perjalanan rentas negeri untuk tiga keadaan saja.

Pertama kes-kes yang melibatkan kecemasan ke atas anggota keluarga terdekat seseorang pemohon dan mestilah disokong dengan dokumen berkaitan.

Kebenaran kedua diberikan untuk kes kematian, manakala yang ketiga membabitkan pasangan jarak jauh.

“Kebenaran rentas negeri tidak dibenarkan bagi tujuan menghadiri majlis perkahwinan dan kenduri-kenduri lain,” kata notis yang dikeluarkan ketua polis balai berkenaan, ASP Azman Johari Rakhibi.

Ketetapan itu dikatakan datang daripada ketua polis negara dan berkuat kuasa pada hari ini.

Ketika dihubungi Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali mengesahkan notis tersebut dan arahan yang diberikan.

Untuk rekod perjalanan merentas negeri untuk tujuan pekerjaan setakat ini tidak memerlukan sebarang kebenaran polis namun pihak yang berkenaan mestilah membawa dokumen pengesahan daripada majikan atau dokumen sokongan.

Pada masa sama baru-baru ini timbul rasa tidak puas hati orang ramai apabila ada individu tertentu – termasuk personaliti terkenal – dilihat melakukan perjalanan rentas negeri tujuan seperti bercuti atau berbulan madu.

Apabila menjadi perhatian mereka mendakwa perjalanan itu dibuat atas urusan kerja dan setelah mendapat kebenaran syarikat berkaitan.

Semalam Majlis Keselamatan Negara memutuskan perjalanan rentas negeri dibenarkan untuk individu yang membawa tanggungan mereka memenuhi janji temu untuk vaksinasi Covid-19.

Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/570882

 

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here