Oleh Sarfarizmal Md Saad

TAHUN lepas kita tidak dibenarkan untuk rentas negeri bagi menyambut hari raya di kampung halaman. Ini kerana kes Covid-19 naik mendadak melalui aktiviti rentas negeri.

Kini, kes yang mulai surut kembali meningkat. Malah, pihak berkuasa percaya ia disebabkan oleh tindakan sesetengah pihak yang ‘curi-curi bercuti’ dengan merentasi daerah menggunakan kelonggaran yang diberikan.

Harapan untuk pulang beraya tahun ini…sudah berakhir

Kebanyakan kita sebenarnya sudah menjadi ‘pembawa’ Covid-19, cuma sesetengahnya tidak menunjukkan simpton kerana memiliki antibodi badan yang kuat. Bagi mereka yang lemah, pasti telah terlantar di hospital atau diusung ke liang lahad.

Dalam diam-diam kita sudah dijangkiti atau menjangkiti orang lain tanpa sedar berikutan kegagalan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti bersentuhan, berpelukan dan sebagainya.

Keadaan ini akan terus merebak jika kita tidak hadkan pergerakan manusia seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh atau melibatkan kawasan yang terjejas.

Kita ambil contoh kes di Kelantan baru-baru ini. Kes dicatatkan meningkat kerana banyak berpunca dari majlis kenduri dan keramaian, iaitu 221 kes sehari pada 15 April 2021. Ini merupakan negeri ketiga tertinggi dalam Malaysia.

Apabila ia sudah dibenarkan, maka ramai orang kita yang menganjurkan majlis kenduri dan keramaian. Aktiviti bertemu muka, bersalaman, berpelukan, bersentuhan pun berlaku.
Waktu itu, hilang segala SOP yang dipegang selama ini. Mustahil bagi kita untuk menjaga penjarakan fizikal dan tidak bersalaman dengan sanak saudara terapat kita apabila sudah sampai kampung halaman.

Bagi kebanyakan orang kita, apabila kerajaan sudah benarkan atau longgarkan SOP itu, maka seolah-olah virus pun sudah tiada di situ. Itu suatu stigma yang sangat salah.

Ambil satu lagi contoh di Terengganu. Ada kes berpunca daripada aktiviti balik kampung untuk ziarah atuk sakit, untuk kebumikan jenazah dan sebagainya. Ya, ia perkara yang mulia dan baik, tetapi ia tak bermakna kita bebas dari dijangkiti virus.

Dalam aktiviti yang penuh emosi, kita saling bersalaman, berpelukan, bercium, cakap dekat, tidak pakai pelitup hidung dan mulut, lalai daripada menjaga diri. Akibatnya, anak-anak cucu sendiri, bapa saudara, Pak Ngah, Pak Long, Pak Su semua terkena jangkitan virus hingga membawa maut.

Bukan sukar membendung penularan ini. Kita sudah pun guna formula ini sudah lama, sudah setahun lebih kita mengulanginya seharian. Sehubungan itu, kalau tiada sebarang keperluan penting atau mendesak, jadi duduklah di rumah diam-diam.

Benar, kita mungkin terasa bosan, tidak bebas dan agak terkurung. Namun ia dilihat formula paling berkesan untuk kita berhentikan penularan kes ini.

Sejak akhir-akhir ini, kelonggaran yang diberi menyaksikan suasana bersesak di bazar Ramadhan yang cukup membimbangkan. Kita tidak boleh salahkan pengunjung sepenuhnya. Sudah setahun, tidak dapat menjenguk bazar Ramadhan, maka ini dilihat sebagai masa melepas geram untuk menikmati juadah yang tidak ada dalam bulan-bulan yang lain.

Manakala, golongan penjaja juga dapat sedikit rezeki yang mencurah-curah dan lumayan waktu ini. Baru buka kedai beberapa jam, juadah makanan dan minuman yang dijual sudah ‘sold out’. Alhamdulillah.

Namun begitu, semua pihak kena peka dan tidak mengambil mudah sambil meneruskan SOP yang diamalkan selama ini. Sama ada kita dapat kembali pulang beraya semula tahun depan, kita perlu bertanya diri sendiri, bak kata orang tepuk dada, tanya selera. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here