Oleh Zainal AS Rashid

DALAM satu kes yang memeranjatkan golongan kaya di Singapura, seorang lelaki pada bulan lalu didakwa oleh mahkamah bersabit empat pertuduhan menipu mengumpulkan sekurang-kurangnya S$1bilion (AS$740) daripada para pelabur untuk dagangan komoditi yang tidak wujud.

Tertuduh, Ng Yu Zhi, 33, sebelum ini menggayakan kehidupan ultra-mewah kononnya sebagai seorang pedagang komoditi yang berjaya dengan memiliki tiga vila mahal tersergam di sebuah kawasan eksklusif Singapura dan kereta jenis ‘supercar’ Pagani Huayra berharga lebih S$5 juta (RM20 juta).

Bagi polis Singapura kes tersebut dianggap antara kes penipuan pelaburan terbesar di republik itu setakat ini.

Ia juga merupakan yang terbaharu dalam beberapa siri skandal yang menggoncangkan hab perdagangan komoditi dan kewangan Singapura di mana aset-aset di bawah pengurusan telah meningkat sehingga S$4 trilion hasil aliran dana dari seberang laut.

Selama ini wajah sebenar Ng sebagai pedagang komoditi yang berjaya serta butiran segala urusannya diselubungi misteri.

Bagaimana pun, apabila kes dibawa ke mahkamah keterangan yang diperoleh daripada para pelabur dan yang direkodkan pada kertas pertuduhan oleh pihak pendakwa raya Singapura menunjukkan bahawa pedagang muda itu berjaya mengumpulkan jumlah dana begitu banyak melalui penawaran keuntungan purata suku tahunan sebanyak 15 peratus.

Sekiranya benar, rekod prestasi sedemikian mampu meletakkan anak muda itu dalam kalangan pengurus dana lindung nilai (hedge fund) terbaik dunia.

Menurut pakar ekonomi Perbankan Peribadi CIMB Song Seng Wun, walaupun Singapura menawarkan banyak peluang perniagaan sah, namun masih terdapat kemungkinan berlaku penyelewengan seiring aliran dana ke negara itu yang seterusnya menyaksikan para pelabur berusaha mendapatkan pulangan terbaik mungkin dalam era kadar faedah paling rendah dalam sejarah.

Beliau berkata yang sedihnya kes tersebut tidak semestinya yang terakhir berjaya dibongkar.

Agensi berita Bloomberg telah cuba menghubungi Ng bagi mendapatkan komen tetapi gagal. Peguamnya Davinder Singh juga tidak membalas semua e-mel yang dihantar.

Butiran pada kertas pertuduhan tidak berapa jelas sama ada Ng membuat pengakuan, tetapi dia telah dibebaskan dengan jaminan S$1.5 juta, selain dipantau pergerakan melalui alat pengesan elektronik

Mahkamah akan mendengar prosiding seterusnya dalam beberapa minggu akan datang.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here