GAMBAR: gencat cat, CC0, via Wikimedia Commons.

Oleh Yusoff Ahmad Shariff

KETIKA begitu ramai yang masih teragak-agak untuk mendapatkan vaksinasi Covid-19, pihak berkuasa di Louisiana, Amerika Syarikat menggunakan pendekatan kreatif bagi memudahkan usaha tersebut.

Antara pendekatan termasuk mengadakan persembahan pancaragam 24 jam di pusat vaksinasi pandu lalu, selain mengunjungi nelayan di pelantar perikanan supaya suntikan diberikan tanpa penerima perlu beratur berjam-jam di pusat setempat, lapor abcNews.

Klinik segera turut diwujudkan di rumah ibadah pelbagai agama, pusat perlindungan gelandangan, hentian trak dan kasino pada waktu malam atau pada hujung minggu.

Terkini, pasukan kesihatan juga berkunjung dari pintu ke pintu di hampir setiap kawasan perumahan.

Lousiana mengambil pendekatan sebegitu secara agresif kerana pihak berkuasa tidak mahu sekadar mengeluh kerana tidak ramai bersedia mendapatkan vaksinasi Covid-19.

Penyelesaiannya ialah dengan memudahkan orang ramai dan berusaha untuk mengurangkan kebimbangan dalam kalangan penerima.

Seperti kebanyakan negara keadaan didapati agak mencabar kerana walaupun bekalan vaksin banyak, namun tidak ramai yang tampil untuk mendapatkan suntikan.

Bagi mempercepatkan program vaksinasi pihak berkuasa mendapatkan bantuan sukarelawan terdiri daripada petugas penjagaan kesihatan, kolej, persatuan masyarakat dan gereja untuk menasihati orang ramai akan pentingnya mendapatkan vaksinasi.

Gabenor Louisiana John Bel Edwards pula bertindak selangkah lagi dengan mengumumkan bahawa individu berusia 16 tahun ke atas juga akan diberikan suntikan.

Bagi golongan yang tidak celik IT pula disediakan pusat panggilan bagi menjawab sebarang pertanyaan berhubung program vaksinasi, selain mengatur temu janji untuk mereka yang tidak mempunyai akses Internet.

Walaupun usaha vaksinasi semakin agresif dan kreatif namun pihak berkuasa masih bimbang kerana kesukaran untuk menepati sasaran yang perlu bagi memutuskan rantaian jangkitan dengan pengagihan suntikan secukupnya sebanyak 70 peratus atau lebih.

Turut membimbangkan ialah kekangan masa memandangkan belum pun lagi program vaksinasi mencapai sasaran timbul pula cabaran berikutan kemunculan beberapa varian baharu Covid-19.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here