HARI keempat Ramadan membawa berita duka apabila dunia hiburan dikejutkan dengan pemergian pelakon veteran Abu Bakar Omar yang meninggal dunia akibat masalah jantung.

Dramatis berusia 72 tahun ini menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9.04 pagi, Jumaat di sebuah pusat perubatan di Alor Setar, Kedah.

Anaknya, Mohd Zainuddin Abu Bakar, berkata, Abu Bakar tidak mempunyai sebarang penyakit kronik namun Allahyarham ada mengadu kepenatan pada dua hari lalu.

“Bapa saya sudah kembali ke rahmatullah pada 9.04 pagi tadi di Kedah Medical Central. Dia tidak mempunyai sebarang penyakit. Dua hari lalu, dia mengadu macam penat sikit-sikit tapi masih okay.

“Malam tadi masa pergi ke hospital pun boleh bersembang lagi. Tapi masa jalani pemeriksaan doktor malam tadi, doktor nampak macam ada masalah jantung,” kata Zainuddin ketika dihubungi mStar.

Terdahulu, penyampai radio Suria FM iaitu Sharifah Shahirah menerusi Instagramnya memaklumkan Abu Bakar Omar meninggal dunia pada pagi Jumaat.

Dalam pada itu, Zainuddin memberitahu jenazah akan diruruskan di kediaman arwah yang terletak di Kampung Bukit Nyamuk Kuala Nerang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru Jalan Pegawai Alor Setar, Kedah selepas solat Asar.

“Bagi pihak keluarga kami memohon maaf atas segala salah silap arwah sepanjang hayat beliau bersama masyarakat. Jika hutang piutang ayahanda yang belum selesai boleh berhubung dengan saya,” ujarnya.

Allahyarham mempunyai isteri bernama Faridah Abdul Manaf dan empat orang anak yang masih hidup serta seorang anak yang sudah meninggal dunia.

https://www.mstar.com.my/spotlight/hiburan/2021/04/16/pelakon-veteran-abu-bakar-omar-meninggal-dunia-pagi-jumaat-akibat-masalah-jantung

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here