KLAUSA “bayar dulu, bincang kemudian” baharu dalam Akta Cukai Pendapatan 1967 hanya diperkenalkan tahun lalu dan bukan wujud sejak zaman Barisan Nasional (BN) seperti yang didakwa, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Dalam menyangkal kenyataan Najib Razak bahawa klausa sudah lama wujud, Lim menegaskan bahawa bekas perdana menteri itu “salah fakta dan silap dalam hal undang-undang ini”.

Pindaan pada Akta Kewangan 2020 (Akta 831) menunjukkan bahawa seksyen itu hanya diluluskan oleh Perikatan Nasional (PN) dalam Belanjawan 2021 dan diwartakan pada 31 Dis tahun lalu.

“Sekiranya pendapat Najib benar bahawa Seksyen 103B yang baharu ini ada sejak zaman BN, mengapa seksyen 103B dimasukkan bawah Seksyen 20 Akta Kewangan 2020 (Akta 831)?” soal Lim.

Ahli Parlimen Bagan itu berpandangan Najib “jelas keliru” antara undang-undang cukai yang berbeza, dan menyarankan bekas perdana menteri itu tampil mengakui beliau telah salah menuduh Lim “cuba mengelirukan rakyat”.

Lim sekali lagi mengkritik seksyen baharu tersebut dan mempersoalkan mengapa rakyat harus menanggung akibat kesilapan PN.

“Sekiranya kerajaan PN kehabisan dana kerana salah urus mereka, maka bon kerajaan boleh diterbitkan untuk mengumpulkan wang, dan bukannya menggunakan LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) untuk memerah lebih banyak wang daripada pembayar cukai/perniagaan yang sudah menderita akibat kemelesetan ekonomi,” kata beliau.

Najib sebelum ini mengejek gesaan Lim agar kerajaan menghapuskan Seksyen 103B bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, yang mengkehendaki cukai yang harus dibayar diselesaikan walaupun penilaian itu dicabar.

Najib juga berkata, seksyen baharu tersebut sudah wujud sejak zaman kerajaan BN, sambil menambah, beliau tidak menyalahgunakan undang-undang ini ketika menjadi perdana menteri kerana pendekatan digunakan LHDN ketika itu adalah bagi memberi kelonggaran terhadap mereka yang dikenakan cukai untuk menuntut keadilan.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/16/klausa-bayar-dahulu-bincang-kemudian-hanya-wujud-baru-baru-ini-guan-eng-beritahu-najib/
Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here