Oleh KHADIJAH IBRAHIM

PELAKON veteran, Abu Bakar Omar, 72, meninggal dunia pada pukul 9.04 pagi Jumaat, 16 April, akibat masalah jantung.

Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Kedah Medical Central, Alor Setar, Kedah.

Menurut anak keduanya, Mohd. Zainuddin, pelakon tersebut tidak mempunyai sebarang penyakit dan dua hari lalu arwah hanya mengadu penat sedikit.

Kata Mohd. Zainuddin, sewaktu bapanya pergi ke hospital semalam untuk menjalani pemeriksaan, doktor nampak seperti ada masalah jantung.

Beliau berkata, pemeriksaan doktor mendapati jantung bapanya itu bengkak dan arwah kemudiannya dibawa masuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU), sebelum dimaklumkan bahawa keadaannya bertambah kritikal pada lewat malam.

“Jenazah akan dibawa ke rumah di Jalan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang dan solat jenazah akan berlangsung di Masjid Al-Ghufran, Alor Setar sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru selepas solat Asar,” katanya yang dipetik dari Bernama.

Abu Bakar meninggalkan seorang isteri, Faridah Abdul Manaf dan empat orang anak. Allahyarham merupakan pelakon yang disegani kerana lakonannya yang mantap itu.

Sepanjang kerjayanya sebagai anak seni, Allahyarham pernah dipilih sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin pada 2012 untuk drama Gincu Ayah dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk Mata Hati pada 1999.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here