GAMBAR: NSTP.

Oleh Ahmad Abd Hamid

ADAKAH kelonggaran yang diberi oleh kerajaan untuk bazar Ramadan beroperasi tahun ini lebih merupakan perbuatan ‘bunuh diri’ berbanding memberi peluang kepada peniaga mencari rezeki dan orang ramai memilih juadah berbuka puasa?

Memang ngeri rasanya melihat orang ramai berpusu-pusu dan bercampur gaul di pasar Ramadan. Prosedur Operasi Standard (SOP) diabaikan, seolah-olahnya negara sudah bebas daripada ancaman pandemik Covid-19 dan bazar Ramadan kawasan bebas SOP.

Walau pun ramai mematuhi peraturan memakai pelitup muka, penjarakan fizikal sama sekali tidak dipatuhi. Oleh kerana terlalu ramai yang datang, mereka bebas bergerak bergesel bahu dan badan tanpa memikirkan risiko.

Bukan mereka tidak tahu mengenai keperluan penjarakan sosial. Namun dalam keadaan berpusu-pusu dan berebut-rebut untuk membeli makanan, tiada siapa peduli SOP. Memang tidak hairan nanti jika bazar tersebut menjadi medan penularan pandemik hingga mewujudkan ‘kluster bazar Ramadan’.

Apa yang dipertontonkan di bazar Ramadan menampilkan sikap buruk orang ramai yang tidak tahu menghargai kelonggaran diberi. Ada sahaja peluang ‘bebas’, mereka akan menggunakan kesempatan tersebut ke tahap maksimum.

Tidak mengapa juga jika SOP dipatuhi. Malangnya, apabila sudah ramai, SOP dicampak ke tepi. Mereka anggap mereka jadi kebal dalam kelompok ramai. Akibatnya graf Covid-19 meningkat.

Tidak dapat dipastikan ada atau tidak kawalan keluar masuk bazar Ramadan seperti yang biasa dibuat untuk memasuki pasar tani dan sebagainya. Jika ada pun, mungkin sukar dilaksanakan jika orang ramai berpusu-pusu tidak dapat ditahan.

Suara-suara sudah kedengaran mengenai kebimbangan bazar Ramadan menjadi medan penularan Covid-19 dan mahu kebenaran beroperasi dikaji semula. Juga amaran untuk menutup bazar jika orang ramai terus enggan mematuhi SOP ditetapkan.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti kembali kelonggaran diberi kepada bazar Ramadan. Ini khususnya susulan pengesanan beberapa kes positif Covid-19 membabitkan varian South African B.1.351. Varian ini dikenal pasti mempunyai kadar boleh jangkit lebih tinggi.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, pula memberi ingatan bazar Ramadan dan Aidilfitri di Wilayah Persekutuan akan ditutup serta merta jika berlaku jangkitan Covid-19. Beliau mahu kemasukan pengunjung pada satu-satu masa dihadkan dan dikawal bagi memastikan penjarakan fizikal.

Selain itu beliau mahu dipastikan ada laluan keluar masuk berlainan, di samping memastikan tidak ada laluan tidak sah digunakan.

Melihat kepada pergerakan orang ramai di bazar Ramadan kini, memang sukar memastikan pematuhan kepada laluan keluar masuk atau penggunaan laluan tidak sah. Peraturan mungkin ada tetapi pelaksanaan sukar dijalankan akibat terlalu ramai orang.

Apabila MKN memberi kebenaran bazar Ramadan beroperasi tahun ini tidakkah mereka  mengambil kira kemungkinan senario ini akan berlaku? Atau adakah mereka tidak menduga begini sekali sikap pengunjung?

Benar bazar Ramadan sebelum Covid-19 memang sentiasa sesak dengan orang ramai. Tetapi dalam keadaan sekarang dengan angka jangkitan baharu kembali meningkat kebelakangan ini, orang ramai mesti faham mereka tidak boleh bersikap seperti dahulu. Kawal diri dan patuhi SOP.

Oleh kerana kini nampaknya mereka tidak peduli kepada ini semua, maka sewajarnyalah MKN mengkaji semula kelonggaran diberi dan menarik balik jika terbukti keadaan memang tidak boleh dikawal dan mendatangkan mudarat kepada orang ramai sendiri.

Jika kebarangkalian bazar Ramadan boleh menyebabkan penularan Covid-19, sebaik-baiknya ialah tidak membenarkan ia beroperasi. Tidak perlu menunggu sehingga sudah terlalu ramai dijangkiti baru bertindak. Tambahan lagi, gejala Covid-19 tidak dapat dikesan serta merta.

Pastinya penutupan bazar Ramadan akan mengecewakan, malah menimbulkan kemarahan peniaga. Tetapi itulah langkah terakhir perlu diambil jika segala usaha mengawal ‘kelam kabut’ di bazar gagal dan orang ramai terus enggan mematuhi SOP.

Kerajaan berniat baik apabila membenarkan bazar Ramadan beroperasi tahun ini, apatah lagi tahun lalu ia tidak dibenarkan. Tetapi jika niat baik ini tidak dihargai, kembali sahaja seperti keadaan tahun lalu.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here