Oleh Arrazaq Nazri

KUALA LUMPUR – Permohonan polis untuk menahan reman lima pelakon dan produser video iklan raya promosi judi yang viral baru-baru ini ditolak Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Menurut peguam kepada salah seorang pelakon video tersebut, Navin Punj daripada Gabriel Susayan and Partners, majistret memberi alasan bahawa kesemua pelakon dalam video berkenaan adalah pelakon bebas dan bukan kakitangan syarikat terbabit.

“Reman pelakon video itu ditolak hari ini oleh mahkamah di Ibupejabat Daerah (IPD) Dang Wangi tapi kita telah akujanji dengan pihak polis sekiranya dipanggil untuk bantu siasatan kita akan kerjasama.

“Ditolak atas alasan kesemua mereka adalah pelakon bebas dan bukan bekerja dengan syarikat itu, mereka hanya diupah untuk buat video tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus selepas berjumpa dengan anak guamnya di IPD Dang Wangi hari ini.

Navin memberitahu, kesemua yang dipanggil untuk siasatan akan dibebaskan oleh polis hari ini.

Jelas Navin, anak guamnya tidak mengetahui apa-apa skrip ketika rakaman video itu dibuat.

“Semasa rakaman, mereka tidak tahu skip video itu apa. Tidak ada skrip video, tidak ada lagu dan muzik. Video diambil awal sebelum kejadian ini jadi panas. Sebab itu majistret menolak permohonan reman tapi kerjasama kita akan beri,” katanya.

Beliau menambah, anak guamnya itu ditahan di IPD Sentul ketika hendak membuat laporan balas mengenai penularan video berkenaan.

Tiga lagi pelakon dan penerbit diwakili seorang lagi peguam.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya telah menahan lapan individu untuk membantu siasatan mengenai video mempromosikan judi dalam talian itu.

Mereka yang ditahan adalah lima lelaki dan tiga wanita yang disyaki terlibat sebagai pelakon, agen artis, jurukamera, serta produser dan pengarah video dalam pengambaran video tersebut.

Kesemua individu yang ditangkap mengaku menerima bayaran bagi pengambaran video berkenaan yang diadakan di dua lokasi di Ampang dan Hulu Selangor.

Kelapan-lapan individu itu ditahan dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. –BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here