Oleh MUZLINA ABU BAKAR

MENERBITKAN sesebuah drama untuk tontonan masyarakat sama ada genre komedi, kemasyarakatan dan keagamaan adalah satu amanah yang harus dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Sebabnya sesebuah drama itu bukanlah hiburan semata-mata malah ia adalah cerminan dan pemikiran setiap karyawan yang mana mampu memberi impak kepada masyarakat.

Biarpun kadangkala ada yang menganggap drama sekadar hiburan semata-mata tetapi kita harus sedar sedikit sebanyak ia akan diperkatakan jika hasilnya memberi kesan di hati penonton.

Tidak kiralah sama ada ia memberi kesan positif atau negatif, sebagai karyawan haruslah menerimanya dengan hati terbuka demi kebaikan bersama.

Itulah yang terjadi pada drama komedi “Potong” yang mula ditayangkan di Astro Warna pada 29 Disember tahun lalu dan berakhir pada 6 April baru-baru ini.

JUREY ROSLI

Walaupun drama 15 episod terbitan World Evolution Brain (M) Sdn. Bhd. arahan Datuk Jurey Rosli yang bersiaran setiap Selasa pukul 9 malam telah berakhir, namun episod 12 yang memaparkan satu babak sebelum bersunat di dalam Masjid Yahya Ubudiyah Kampung Banggol Belimbing, Lenggong, Perak dikatakan telah menyinggung perasaan segelintir penonton berasal dari daerah tersebut.

Dalam episod berkenaan membawa kisah mengenai satu kejadian aneh telah berlaku di mana pisau yang digunakan Midun menjadi tumpul dan tidak dapat digunakan untuk berkhatan walaupun telah diasah berkali-kali.

SATU babak dari episod 12 drama “Potong” yang menimbulkan kontroversi.

Tanpa pengetahuan Midun terdapat seorang mudim di kampung sebelah yang cemburu kerana Midun menjadi pilihan penduduk kampung untuk mengkhatankan anak mereka.

Babak pada minit ke-26 yang memaparkan Tok Bomoh (lakonan Datuk Rosyam Nor) kononnya menghalau ‘sesuatu yang dihantar seseorang’ untuk menghalang tugas Tok Mudim, Midun (Hazama) didakwa khurafat dan tidak sesuai dilakukan di masjid berkenaan.

Bukan itu sahaja, malah ada yang tersinggung dengan babak di mana Tok Bomoh menyingkap kain pelikat kanak-kanak yang mahu bersunat dan meninjau alat sulit mereka.

TOK Bomoh (Datuk Rosyam Nor) dan Mustafa (Kazar) dalam satu babak ‘menghalau’ makhluk halus yang kononnya mengganggu tugas Tok Mudim, Midun (Hazama) dalam episod 12 drama komedi, “Potong.”

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Haji Harith Fadzilah Haji Abdul Halim ketika dihubungi untuk mendapat penjelasan beliau berikutan rasa tidak senang segelintir penduduk Lenggong, berkata, “Sejujurnya saya tidak menonton drama berkenaan tetapi melalui link (video) yang dikirim oleh BebasNews, saya berpendapat tiada unsur khurafat dalam babak Tok Bomoh menghalau makhluk halus kerana drama ini genre komedi dan ia dianggap sebagai hiburan semata-mata.

“Bagaimanapun saya tidak setuju babak Tok Bomoh menyingkap kain pelikat kanak-kanak yang mahu berkhatan kerana tidak sopan.

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Harith Fadzilah Abdul Halim.

“Sebagai orang Islam, kita harus tahu adab ketika di dalam masjid. Adab itu harus dijaga dan dihormati. Walaupun saya tahu kanak-kanak itu memakai seluar pendek di dalam tetapi bagi saya babak tersebut telah melanggar adab dan memang tidak patut disiarkan dalam drama berkenaan.”

Sementara itu, Jurey Rosli ketika dihubungi dan ditanya mengenai babak yang dikatakan melanggar adap di masjid pada mulanya menjelaskan;

“Saya faham dan tahu tentang adab di masjid. Untuk pengetahuan penonton babak tersebut dirakamkan bukan di dalam masjid di ruang jemaah bersolat.

“Sebaliknya babak itu dirakamkan di dalam bilik di tepi masjid.”

Bagaimanapun setelah BebasNews ‘menghantar’ gambar babak berkenaan melalui WhatsApp beliau, Jurey memberitahu;

“Saya tidak perasan babak ini di mana. Mungkin semasa penggambaran saya tidak ada di lokasi kerana ada urusan lain dan tugas ini diambil alih oleh penolong pengarah saya.

“Tetapi apa jua teguran kami terima dengan baik dan insyaa-Allah kami akan perbaiki di masa hadapan.”

BABAK inilah yang dikatakan melanggar adab masjid apabila Tok Bomoh menyingkap kain pelikat dan melihat ‘alat sulit’ kanak-kanak lelaki yang akan berkhatan.

Haji Harith Fadzilah ketika dihubungi petang ini dan diberitahu mengenai penjelasan awal pengarah berkenaan bahawa babak tersebut dirakamkan di dalam bilik di tepi masjid, beliau menegaskan;

“Definisi masjid bukan di ruang jemaah menunaikan solat sahaja. Sebaliknya semua bilik di dalam kawasan masjid sama ada di tepi atau di mana sahaja ia masih di dalam masjid dan terikat dengan adab.”

“Potong” membawa kisah mengenai seorang pemuda Midun, menyambung legasi perkhidmatan berkhatan tradisional yang diwarisi bapanya, seorang Tok Mudim handal di kampung. Dengan bantuan rakan bapanya yang bernama Mustafa, dia berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.

MIDUN (Hazama) bersama Dr. Nur dalam satu babak drama “Potong” yang telahpun berakhir tayangannya pada 6 April lalu.

Namun khidmatnya mula tergugat dengan kedatangan perubatan moden yang dibawa oleh Dr Nur.

Selain itu, kerja-kerja berkhatan yang dilakukan oleh Midun juga sering mendapat gangguan dan cabaran ketika beliau melaksanakan tugasannya sebagai Tok Mudim.

“Potong” dilakonkan oleh Hazama (Midun), Kazaruddin Saisi (Mustafa), Delimawati (Mak Midun), Lan Siro (Jeman) dan Syazlin (Dr. Nur) dengan pelakon undangan Datuk Rosyam Nor (Tok Bomoh), Datuk Jurey Rosli (YB), Black Hanafiah (Long Selar), Along Eyzendy (Galah), Neera Azizi (Sue), Daler Yusof (Mat Salleh), Kamarul Hj Yusof (Cupak), Wafariena (Anak Mustafa), Erul AF (Mat Hong Kong) dan Hamdan Senario ( Tok Ketua).

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here