Kisah Omar & Hana yang banyak pengajaran untuk penonton.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SIRI animasi Omar & Hana bukan sekadar hiburan untuk kanak-kanak sahaja, orang dewasa pun boleh menonton rancangan ini kerana banyak pengajaran dapat diperoleh.

Digital Durian yang menerbitkan Omar & Hana mengumumkan siri animasi popularnya hasil usahasama dengan Astro itu akan bersiaran dalam durasi yang lebih panjang, selama 11 minit, di sepanjang bulan Ramadan ini.

Malah, musim baharu Kisah Omar & Hana ini juga akan disiarkan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris. Justeru, pengisian kandungan siri Omar & Hana ini dilihat lebih padat dengan intipati pembelajaran, sajian lagu dan pelbagai doa untuk panduan semua.

Musim baharu ini merangkumi empat episod bertemakan Ramadan dan satu episod berlatarbelakangkan raya, yang mana akan disiarkan di Astro Ceria (saluran 611) bermula 16 April hingga 14 Mei.

Episod-episod Ramadan musim terbaharu Kisah Omar & Hana berkisar tentang cerita teladan para Malaikat, kesabaran ketika berpuasa, manfaat pahala yang dikumpul melalui sedekah dan untuk mengasihi serta menghargai orang yang anda sayangi ketika mereka masih bersama dengan kita di dunia ini.

Omar & Hana musim baharu turut disiarkan dalam bahasa Inggeris.

Manakala, episod khas raya pula akan memperlihatkan Omar & Hana belajar mengenai panduan Kiblat dan sebab-sebab mengapa umat Islam perlu melaksanakan solat dalam keadaan menghadap ke arah Kaabah.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Digital Durian Animation, Sinan Ismail berkata, kandungan khas sempena Ramadan itu adalah untuk peminat Omar & Hana di luar sana.

“Kami sentiasa titipkan harapan untuk menyebarkan kebaikan di seluruh dunia melalui sajian kandungan Omar & Hana ini dengan menyediakannya dalam beberapa bahasa yang lain.

“Mudah-mudahan, penonton kami dapat menerima baik dan menikmati episod-episod istimewa Omar & Hana yang telah disusun sepanjang Ramadan tahun ini,” harapnya.

Sementara itu, penerbit animasi Fadilah A. Rahman, berkata, episod berdurasi panjang untuk musim baharu ini dibuat atas permintaan daripada peminat di seluruh dunia. Mereka juga sangat menghargai sokongan daripada ibu bapa dan peminat cilik.

“Bulan Ramadan merupakan bulan paling istimewa buat Omar & Hana dan Digital Durian, dan mereka ingin berkongsi detik-detik terbaik dengan peminat di seluruh dunia menerusi kandungan segar yang disajikan.

“Sempena musim baharu Omar & Hana ini, Digital Durian juga telah melancarkan kempen Hero Ramadan demi meraikan kedatangan bulan Ramadan ini.

“Kempen ini adalah untuk meraikan peminat mereka dengan mengadakan satu pertandingan, di mana para peminat diperlukan untuk berkongsi detik-detik istimewa mereka di bulan mulia ini,” jelasnya.

Kata Fadilah, peminat yang dipilih menerusi perkongsian pengalaman terbaik mereka akan berpeluang memenangi hadiah dan barangan cenderahati Omar & Hana.

“Besar harapan saya agar setiap Muslim dapat menjadi seorang Hero Ramadan pada tahun ini dengan melakukan pelbagai jenis kebaikan. Kami turut berharap agar peminat kami di luar sana akan menonton dan menyokong kisah terbaharu Omar & Hana,” katanya.

Tambah Fadilah, siaran E-Khutbah juga akan diadakan sempena kempen Hero Ramadan khas buat ibu bapa dan ia hadir dalam tiga bahasa iaitu, Melayu, Inggeris dan Indonesia.

E-khutbah ini menyaksikan penglibatan barisan ustaz tempatan dan antarabangsa seperti Mufti Menk, Imam Yahya Adel Ibrahim, Ustaz Syah, Imam Muda Nazrul, Ustaz Elyas Ismail dan Ustaz Muzammil Hasballah. E-khutbah akan disiarkan setiap hari Jumaat di YouTube Omar & Hana.

Siri animasi Kisah Omar & Hana ini bersiaran pada setiap Jumaat, jam 11 pagi dan 4 petang di Astro Ceria (saluran 611). Sebagai pilihan alternatif, kesemua episod Omar & Hana juga boleh distrim secara eksklusif bagi pelanggan Astro melalui aplikasi Astro GO.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here