Oleh Yusoff Ahmad Shariff

DUA kumpulan penggodam berasingan dari Palestin dikesan menyasarkan pengguna Facebook melalui perisian hasad (malware) Android, iOS dan Windows.

Menurut satu laporan oleh portal vice.com semalam penyelidik di Facebook telah mengenal pasti dua kempen menggodam berasingan, iaitu satu oleh kumpulan dikaitkan dengan Perkhidmatan Keselamatan Pencegahan (PSS) yang merupakan agensi penguatkuasaan, undang-undang dan perisikan di bawah parti pemerintah Palestin di tebing barat, Fatah.

Satu lagi kumpulan dikenali sebagai Arid Viper yang dikaitkan dengan Hamas, iaitu pihak berkuasa wilayah Gaza.

Pengarah ancaman rangkaian Facebook, David Agranovich berkata operasi penggodam itu  menyerupai sebuah kempen untuk menceroboh alat pengguna bagi tujuan pengawasan.

Beliau berkata matlamat mereka ialah untuk memperdayakan pengguna Facebook supaya klik pautan berbahaya dan seterusnya membuka ruang untuk dipasang perisian hasad ke dalam alat masing-masing.

Mereka khususnya menyasarkan wartawan, sesiapa yang menentang kerajaan pimpinan Fatah, aktivis hak asasi manusia serta kumpulan tentera, termasuk pihak pembangkang Syria  dan angkatan tentera Iraq.

Facebook berkata kegiatan Arid Viper berpusat di Palestin dan telah berjaya mewujudkan berpuluh profil palsu Facebook dan Instagram bagi menyasarkan mereka yang bekerja dengan Pihak Berkuasa Nasional Palestin, Fatah, PSS, beberapa kementerian, kumpulan pelajar dan penjawat awam.

Kaedah yang digunakan ialah dengan mempengaruhi pengguna supaya melewati laman-laman web palsu yang mengiklankan versi palsu platform chat, perbankan dan mencari teman.

Satu lagi kaedah ialah dengan mewujudkan aplikasi chat palsu yang dinamakan MagicSmile bagi memudahkan penyusupan masuk perisian hasad  Android, iOS atau Windows.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here