JKP FAM penggal 2021-2025 yang bersidang buat kali pertama di Wisma FAM, mahu menghidupkan Piala FAM dan Pestabola Merdeka mulai tahun depan. - Foto FAM.
Oleh Abdul Hafiz Ahmad
[email protected]

PIALA FAM akan dihidupkan semula dan Pestabola Merdeka mungkin dijenamakan semula sebagai pertandingan bawah 23 atau 25 tahun antarabangsa sahaja mulai 2022.

Piala FAM yang pernah diubah kepada Liga FAM pada 2008 dan digantikan dengan Liga M3 oleh Liga Bola Sepak Amatur (AFL) mulai 2019, akan menampilkan format kalah singkir seperti ketika diperkenalkan pada 1951 dan berlangsung sehingga 2007.

Pestabola Merdeka pula ialah kejohanan jemputan antarabangsa yang kali terakhir dilangsungkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2013 di Stadium Darul Makmur, Kuantan dan Stadium Temerloh, Pahang.

Dua pertandingan klasik ini merupakan antara dua cadangan besar Jawatankuasa Pertandingan (JKP) selepas menjalani mesyuarat pertamanya bagi penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor, semalam.

MOHD. Firdaus Mohamed (kanan) bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin. – Foto FAM.

Pengerusi jawatankuasa ini, Mohd. Firdaus Mohamed berkata, “Piala FAM tidak akan bersaing dengan satu lagi saingan kalah singkir sekarang, Piala FA yang terbuka kepada pasukan-pasukan Liga Super, Perdana dan M3 serta M4.

“Piala FAM yang dikembalikan pada tahun depan ini hanya untuk kelab-kelab amatur dan kecil yang beraksi dalam liga sosial di negeri masing-masing.

“Kami percaya ramai bakat baharu pemain yang sudah berkerjaya tetap, ada dalam kelab-kelab seumpama ini namun masih boleh diketengahkan dalam Piala FAM,” katanya yang juga Naib Presiden FAM kepada BebasNews hari ini.

Mengenai Pestabola Merdeka yang diasaskan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra pada 1957 dan pernah diibaratkan ‘Piala Asia Mini’ sekitar 60-an hingga 80-an, katanya: “Kejohanan ini perlu ada semula tetapi mungkin tidak membabitkan pasukan senior kebangsaan.

“Harimau Malaya sudah ada agenda tahunan dan tugasan tetapnya seperti siri perlawanan persahabatan, Piala AFF dan Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia jadi lebih wajar Pestabola yang direvolusikan ini hanya buat pasukan B23 atau B25.

“Piala Raja Thailand masih jadi kejohanan jemputan tahunan negara jiran itu sehingga sekarang sedangkan Pestabola lebih awal diperkenalkan. Antara pasukan yang boleh diundang memeriahkannya mestilah yang rankingnya lebih tinggi daripada kita seperti negara Arab, Jepun, Korea Selatan dan China mahupun kalangan jiran Asia Tenggara kita,” katanya.

Selain itu JKP katanya, berhasrat untuk memperkenalkan Piala Bawah 16 Tahun Kebangsaan yang hanya berformat karnival selama tiga hari sebagai menyokong kelangsungan Piala Belia (B19) dan Piala Presiden (B21) yang dikendalikan FAM sekarang.

“Tidak lama lagi juga jawatankuasa ini mahu menganjurkan satu bengkel lampas minda yang terbuka kepada para pengusaha liga-liga sosial dan pentadbir kelab-kelab amatur.

“Kami mahu tahu apa cadangan dan pandangan mereka dalam menambah baik penganjuran semua kejohanan amatur FAM termasuk Piala Belia dan Presiden,” katanya yang mengetuai JKP yang mulai penggal 2021-2025, menggabungkan pertandingan tempatan dan antarabangsa. -BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here