Photo by 21 swan on Unsplash

SELEPAS beberapa hari berpuasa atau menjelang pertengahan bulan Ramadan, ramai umat Islam memandang ringan terhadap keperluan untuk bersahur. Kebanyakan mereka merasakan tanpa bangun bersahur, mereka masih mampu untuk mengharungi hari esok sehinggalah sampai waktu berbuka.

Kenapakah demikian? Bukahkah al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Bersahurlah kamu, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatannya.”

Terdapat juga riwayat menceritakan bahawa Rasulullah SAW juga jika baginda bersahur tidak mengambil makanan yang berat, memadai memakan beberapa ulas buah kurma dan minum air sebagai tanda mengekalkan amalan bersahur.

Sebenarnya banyak kelebihan bersahur terutama kepada aspek untuk membantu membekalkan tenaga serta mengurangkan rasa lapar dan dahaga sepanjang seharian siang berpuasa.

Apa yang lebih penting difahami ialah bersahur itu merupakan sunnah Rasulullah SAW dan perkara sunat yang dituntut serta mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Lagipun ibadah puasa bagi umat Islam itu wajib mengikut ajaran sebenar dan perlu dibezakan dengan cara berpuasa bukan Islam khususnya dalam kalangan ahli kitab iaitu puak Yahudi dan Nasrani.

Daripada Amru bin al-‘As bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ” Perbezaan di antara puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu ialah dengan makan sahur.” (Hadis riwayat Muslim).

Dengan memahami perbezaan cara berpuasa bagi umat Islam itu akan dapat mengukuh keimanan individu yang selama ini sekadar puasa ‘ikut-ikutan.’

Justeru telah menjadi kebiasaan bagi sejumlah umat Islam memang ‘taat’ beribadah puasa kerana faktor ia mudah dilakukan secara menahan lapar dan dahaga serta menghindari perkara lain yang membatalkan seperti mana yang digariskan sebagai syarat puasa.

Golongan itu juga sekadar berpuasa, tetapi mengabaikan ibadah wajib lain terutama sekali solat lima waktu, selain perkara sunat yang digalakkan seperti membaca ayat suci al-Quran serta menghadiri majlis ilmu berkaitan dengan Islam.

Jika mereka rajin pergi ke majlis ilmu, sekurang-kurangnya akan dapat mengutip pengetahuan daripada penceramah bahawa falsafah di sebalik ibadah puasa juga mendidik golongan berada untuk belajar menghayati nasib golongan miskin kerap berlapar dan dahaga akibat ketiadaan wang untuk perbelanjaan hidup.

Dalam pada itu kerap juga kita temukan mereka yang hidup senang, tetapi malas untuk menunaikan ibadah atau pekerjaan tertentu, maka golongan ini lebih berminat mengisi waktu lapang dengan perkara makruh seperti membanyakkan tidur dalam jangka masa panjang sebagai ‘helah’ untuk mengurangkan rasa lapar dan dahaga berpuasa.

Bagi yang tidak tidur siang hari, golongan sama akan mengisi masa dengan melepak di kawasan lapang atau rekreasi sambil berbual kosong sedangkan bulan ramadan perlu dimanfaat sepenuhnya kerana keberkatan dan kemuliaan yang ada padanya. Kita sendiri tidak tahu apakah kita bakal ketemu lagi di lain kali. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here