Photo by Lindsey LaMont on Unsplash

Oleh Arrazzaq Nazri

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengesan beberapa taktik yang digunakan oleh scammer bagi memperdaya masyarakat di negara ini.

SKMM berkata, ia melibatkan usaha memperdaya orang ramai bagi menyerahkan maklumat peribadi seperti nama pengguna dan kata laluan akaun perbankan internet.

“Pengguna secara rambang menerima pesanan ringkas (melalui SMS, atau mana-mana aplikasi seperti WhatsApp) menyerupai pesanan daripada pihak bank yang menyatakan berlaku transaksi kewangan mencurigakan atau wujud keperluan untuk pengguna mengesahkan, mengemaskini atau mengaktifkan semula akaun perbankan internet.

“Pengguna kemudian diminta melayari pautan laman sesawang palsu yang diberikan atau diminta untuk menghubungi talian hotline palsu yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas SKMM lagi, laman sesawang palsu itu kemudian memerlukan pengguna memasukkan nama dan kata laluan perbankan internet atau diminta memuat turun dan memasang aplikasi palsu dalam fail berformat “.APK”.

“Kombinasi dan variasi helah yang disebutkan turut digunakan oleh scammer untuk memperdaya dan memperoleh nombor Transaction Authorization Code (TAC) / One-TIme PIN (OTP) daripada pengguna.

“Sehubungan dengan itu, SKMM ingin mengingatkan para pengguna agar sentiasa berwaspada apabila menerima pesanan ringkas yang menyerupai pesanan daripada pihak bank,” katanya.

Jelasnya lagi,pengguna juga dinasihatkan untuk tidak melayari dan memberikan maklumat perbankan di mana-mana laman sesawang dengan alamat URL yang mempunyai perbezaan dan variasi dari segi nama, huruf, serta ejaan berbanding laman perbankan internet sebenar.

“Jangan sesekali menyerahkan nama atau kata laluan perbankan termasuk nombor TAC atau OTP kepada mana-mana pihak melalui SMS atau mana-mana aplikasi.

“Segera rujuk atau laporkan kepada pihak bank masing-masing jika menerima apa-apa komunikasi yang mencurigakan atau apabila menyedari diri telah diperdaya,” katanya.-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here