HARUN Jusoh terlantar di katil khas pesakit sumbangan Pusat Khidmat DUN Batu Buruk ketika diziarah wakil Yakeb. Sharifah Azizah Syed Omar di kanan. - Foto Yakeb.
Oleh Abdul Hafiz Ahmad
[email protected]

SUDAH sampai masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas dan tetap seperti mana Suruhanjaya Atlet Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Belum terlambat untuk berbuat demikian biarpun mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM seperti terlepas pandang perkara ini ketika menubuhkan 17 jawatankuasa tetap pada 21 Mac lalu.

Suara mereka yang telah menjulang Malaysia di gelanggang antarabangsa ini perlu wujud dan diiktiraf dalam FAM.

Kehadiran mereka bukan lagi hanya disedari masyarakat bola sepak semata-mata kerana kritikan pedas dalam media massa atau media sosial setiap kali apabila pasukan negara kecundang atau Liga Malaysia dirundung masalah.

HARUN Jusoh (depan, dua dari kanan) dalam kesebelasan utama Malaysia menentang Arsenal pada 1975. – Foto Dunia Sukan Utusan.

Idea, kemahiran dan pengalaman mereka juga wajar dicurahkan semula dan digemblengkan FAM mungkin dalam soal-soal pertandingan, pembangunan akar umbi, pengadil dan teknikal.

Pembabitan langsung bekas-bekas pemain dalam sebuah jawatankuasa khas juga semakin ketara diperlukan dalam menguruskan kes legenda bola sepak negara yang pernah beraksi dalam Sukan Olimpik Munich 1972, Harun Jusoh.

Bekas sayap kiri kelahiran Terengganu itu kini bertarung dengan penyakit radang sendi pada usia 73 tahun sehingga memerlukan penjagaan rapi kerana tidak mampu bergerak dan hanya bergantung sepenuhnya kepada susu khas untuk meneruskan hidup.

Lebih sebulan keadaan kesihatan Harun merosot dan terlantar di rumahnya di Kampung Che Kundur, Batu Buruk, Kuala Terengganu kata isterinya, Sharifah Azizah Syed Omar, 69.

“Menguruskan dirinya termasuk apabila mandi dan memakai lampin pakai buang, tidak mampu saya buat sendirian. Sebab itu khidmat jururawat disediakan bagi membantu suami di samping anak kami.

“Besar harapan saya untuk melihat suami kembali pulih selain memohon doa daripada para peminat bola sepak negara,” katanya seperti dipetik dalam sebuah akhbar harian, baru-baru ini.

Harun turut terkenal dengan jasanya membantu pasukan negara layak ke Munich sebagai juara Kelayakan Olimpik Kumpulan 1 Asia di Seoul pada 1971, meraih pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974 dan menjuarai Pestabola Merdeka 1973 dan menentang Arsenal dalam dua perlawanan persahabatan 1975.

HARUN Jusoh (jersi putih) bersaing bola dengan pemain Korea Utara sambil diperhatikan Mokhtar Dahari dalam perlawanan penentuan pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974.

Dia dan adiknya juga bekas bek kanan Malaysia, Allahyarham Yahaya Jusoh (meninggal dunia 2013) turut menjadi tonggak kemaraan Terengganu ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada 6 Mei 1973 namun disekat Selangor 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Setakat ini pihak Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Kawasan Batu Buruk yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah telah tampil menghulurkan bantuan pada 18 April lalu.

Setakat ini terdapat 289 bekas pemain negara yang sudah berdaftar sebagai ahli Yayasan Kebajikan Bekas Atlet Kebangsaan (Yakeb) yang sentiasa prihatin dalam menziarah dan menyampaikan pelbagai bantuan dalam meringankan masalah mereka bahkan wira-wira silam sukan lain.

Namun difahamkan Harun belum mendaftar diri sebagai ahli Yakeb – mungkin kerana kekurangan maklumat pada pihak keluarganya mengenai kemudahan itu atau kesukaran perhubungan dengan yayasan.

Dalam setahun dua ini, tidak dapat dinafikan FAM masih proaktif dalam penampilannya dalam membantu umpamanya Allahyarham Datuk Namat Abdullah dan Syed Ahmad Abu Bakar (legenda 70-an di Munich dan Seoul serta Tehran) serta Kasmah Darus (bekas pemain wanita yang menghidap barah tulang).

Namun kebanyakannya hanya atas budi bicara tertentu sedangkan jika ada sebuah jawatankuasa khas umpamanya Jawatankuasa Perhubungan dan Kebajikan Bekas Pemain Kebangsaan FAM, pasti perolehan maklumat dan penyampaian bantuan dapat disegerakan dan lebih efisien.- BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here