Filem arahan Mamat Khalid ini terus mendapat sokongan ramai.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

JARANG sekali filem arahan Mamat Khalid kurang mendapat sambutan, selalunya karya beliau sering menjadi bualan ramai.

Dalam kalangan peminat filem tempatan, Mamat dikenali sebagai pengarah humor yang kerap membuatkan penonton tidak henti ketawa apabila menonton naskhahnya.

Meskipun sinonim dengan lawak jenaka, namun filem arahannya penuh dengan satira dan dekat dengan masyarakat. Lihat saja filem arahannya yang terkini iaitu 18 Puasa Di Kampong Pisang.

Filem lakonan Bell Ngasri, Namron, Jaafar Onn, Siti Elizad, Kazar Saisi, Mat London, Joey Daud dan ramai lagi itu mula ditayangkan di Pawagam Rumah Anda, Astro First pada 15 April lalu.

Watak Barkoba lakonan Bell Ngasri dalam filem 18 Puasa Di Kampong Pisang memang menjadi.

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang merupakan gabungan daripada dua karya Mamat iaitu Kampung Pisang Bersiri-Siri dan 16 & 17 Puasa itu berjaya meraih kutipan sebanyak RM3 juta sekali gus mencatat rekod sebagai filem tempatan paling laris di Astro First bagi tahun 2021 setakat hari ini.

Dalam tempoh tiga hari tayangan, filem itu berjaya meraih kutipan sebanyak RM1 juta dan enam hari kemudian, kutipan mencecah RM2 juta.

Sambutan daripada penonton terus menunjukkan momentum kukuh. Ini setidak-tidaknya dapat mengembalikan keyakinan penonton, terutamanya peminat filem Melayu untuk terus menyokong karya-karya tempatan tidak kira apa genre sekalipun.

Rahsia kejayaan filem ini terletak pada jalan cerita dan babak yang dipersembahkan mudah untuk penonton faham kerana ia memang berlaku di sekeliling kita atau memang terjadi pada diri sendiri.

Menerusi 18 Puasa Di Kampong Pisang, banyak mesej yang diterjemahkan antaranya ialah hikmah berpuasa, zakat, fungsi Baitulmal, Rukun Islam, nilai murni bersedekah, solat taubat dan banyak lagi.

Menampilkan ramai pelakon berbakat dalam 18 Puasa Di Kampong Pisang.

Sebagai manusia, mungkin kadang-kadang kita alpa dengan tanggungjawab sebagai seorang Muslim, maka karya ini sedikit sebanyak dapat mengajak penonton untuk cermini diri lebih-lebih lagi dalam bulan mulia ini.

Mengulas mengenai kejayaan ini, Mamat berkata, meskipun tayangan filem 18 Puasa Di Kampong Pisang dalam era normal baharu, namun atas sambutan positif penonton, filem ini mampu mencatatkan kutipan sebanyak itu dalam tempoh 10 hari.

“Terima kasih kepada semua penonton yang menerima baik filem ini. Semoga mesej yang disampaikan dalam filem ini sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada kita.

“Biasalah kita manusia, muda lupa, jadi marilah kita saling ingat mengingati antara satu sama lain. Insyallah, nantikan karya seterusnya eksklusif di Astro,” kata Mamat yang turut mencipta sejarah menerusi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan tentang sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan.

Jaafar Onn yang sudah lama tak berlakon kembali beraksi.

Ketika Barkoba lakonan Bell Ngasri, menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, tiba-tiba berlaku satu insiden. Beliau telah didatangi si iblis dan membawa Barkoba kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.

Barkoba mengabaikan zakat, menganaiyai orang lain, mengajak melakukan kemungkaran serta menyebabkan kecederaan dan kematian Kiambang.

Dapatkah Barkoba memperbetulkan kesalahannya yang lalu dan kembali ke dunia yang nyata dan berjayakah Barkoba menyelamatkan Kiambang.

Jangan seronok kalau orang panggil anda Barkoba kerana nama itu mewakili karakter orang yang tak berpuasa.

Bagi mengetahui apakah nasib Barkoba jangan lupa untuk melanggan Astro First (480) atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.

Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here