Pada pukul 9 malam ini video muzik Anakanda akan dilancarkan menerusi YouTube Siti Nurhaliza.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SELEPAS Datuk Seri Siti Nurhaliza melahirkan anak keduanya pada 19 April lalu, ramai yang tertunggu-tunggu bila beliau nak umum nama bayi lelakinya itu.

Sabar kerana Siti pun ada perancangannya tersendiri. Mula-mula beliau perkenalkan lagu yang dituju khas untuk hero kecilnya itu yang berjudul Anakanda.

Untuk anak sulungnya, penyanyi itu mengungkapkan rasa kasih dan cintanya kepada Siti Aafiyah menerusi lagu Comel Pipi Merah yang dikeluarkan sewaktu beliau hamil.

Nak tahu macam mana video muzik Anakanda, kenalah tunggu pukul 9 malam ini (26 April). Semua itu akan dipaparkan menerusi saluran YouTube Siti Nurhaliza. Video muzik ini mendapat tajaan dan kerjasama daripada syarikat Cuckoo kerana Siti adalah duta produk tersebut.

Mungkin ini antara adegan yang terdapat dalam video muzik Anakanda.

Lagu Anakanda dimuatkan di dalam album kanak-kanak klasik, Legasi yang dilancarkan pada 1 April 2021. Anakanda merupakan ciptaan Siti dan lirik oleh Rozisangdewi adalah sebuah lagu yang berunsurkan rentak inang.

Menurut Siti, beliau mencipta lagu Anakanda ketika sedang mencari ilham sebuah lagu khas untuk anak yang bakal dilahirkan.
Siti memilih rentak inang bagi menyesuaikan dengan konsep keseluruhan album lagu kanak-kanak klasik, Legasi. Lagu ini diterbitkan oleh Pown Hasril.

Manakala Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd., pula bertindak sebagai penerbit album Legasi dan edaran digital dilakukan oleh Universal Music Malaysia.

”Lagu Anakanda ini merupakan lagu paling akhir saya rakamkan untuk album Legasi. Apabila memutuskan untuk memasukkan lagu Comel Pipi Merah ke dalam album Legasi, saya terfikir untuk mencipta sebuah lagu khas dan baharu buat anak yang bakal lahir,” jelas Siti.

Siti Nurhaliza yang mencipta lagu Anakanda dan lirik oleh Roźisangdewi.

Tambah beliau, Anakanda menggambarkan harapan ibu bapa terhadap jati diri anak lelaki serta mahu menerapkan sisi bertanggungjawab terhadap orang sekeliling.

”Melagukan lirik yang positif, bermoral dan menerapkan asas yang baik juga membantu perkembangan minda anak-anak. Anakanda bukan sahaja bentuk harapan yang dilagukan oleh saya tetapi harapan setiap insan yang memiliki cahaya mata,” katanya.

Walau dalam berpantang Siti Nurhaliza masih boleh mempromosi video muzik Anakanda menerusi media sosial.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here