Jamal Abdillah bersama isteri, Zai Izzati Khiruddin dan anak mereka, Nur Azura Yamani dan El Issac Yamani.

 

Oleh MUZLINA ABU BAKAR
Foto dan Video: SYED WAFA

APABILA sebut nama Datuk Jamal Abdillah, sudah terbayang di mata saya seraut wajah sayu penyanyi bersuara lunak yang malu-malu ketika saya temuinya 40 tahun lalu di majlis pelancaran album pertamanya di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Ketika pelancaran album berkenaan, “Perpisahan Tanpa Relamu” pada tahun 1980 dan berbual dengannya lebih sejam semalam, membuatkan saya tertanya-tanya di manakah remaja dari kampung dan Juara Bintang RTM 1979, Jamal Abdillah yang pernah saya kenal dahulu.

Sebabnya, Jamal Abdillah yang saya temui semalam amat berbeza dengan Jamal Abdillah yang saya kenal dahulu pada usianya baru mencecah 21 tahun kerana ketika itu beliau adalah seorang yang agak sukar berbicara dan kelihatan begitu pemalu.

Di kerusi inilah Zai Izzati duduk ketika pertama kali datang ke rumah Jamal Abdillah yang telah berjaya mencuri hati Raja Pop itu.

Jamal Abdillah semalam hadir di depan saya sebagai seorang yang lebih yakin apabila berbicara malah begitu pasti apa yang dimahukan dan yang terbaik untuk anak-anaknya.

Mungkin semuanya disebabkan perjalanan hidupnya yang suatu waktu dahulu kelam namun beliau bangkit dengan penuh semangat dan kekuatan dengan kehadiran empat orang anak dan isteri tersayang, Datin Zai Izzati Khiruddin yang dinikahi pada 1 April 2017.

“Sejak mempunyai dua orang anak Osama Yamani, 20, dan Ahmad Zaki Yamani, 15, daripada perkahwinan kedua (Noraina Mohd. Yusof) dan perkahwinan ketiga (Fatimatuzzahra Samad), saya sudah sediakan segala-segalanya yang diperlukan untuk mereka menjalani sebuah kehidupan yang lebih sempurna. Begitu juga buat Nur Azura Yamani, 1 tahun 6 bulan dan El Issac Yamani, lima bulan.

“Bukan sahaja pendidikan malah tempat berteduh buat mereka kerana saya tidak mahu anak-anak hidup susah. Dahulu ketika di kampung, hidup saya memang susah dan saya tidak mahu anak-anak mewarisi kesusahan itu,” cerita Jamal Abdillah sambil memandang dengan penuh kasih Azura dan Issac anak beliau dan isterinya, Zai Izzati Khiruddin yang lebih mesra dipanggil Zetty.

“Saya mahu Azura dan Issac mengikut acuan yang telah ditetapkan babahnya,” kata Jamal Abdillah.

Menurut Jamal, jika anak pertama dan keduanya diberi kebebasan untuk menentukan masa depan mereka dengan menceburi bidang seni namun tidak bagi Azura dan Issac.

“Saya mahu Azura dan Issac mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh babahnya. Saya mahu Azura menjadi seorang peguam dan Issac menjadi jurutera. Itulah impian dan cita-cita saya untuk mereka berdua.

“Dalam memastikan mereka berjaya mencapai impian saya, saya akan pastikan Azura menguasai bahasa Inggeris yang baik dan saya akan hantarnya ke sekolah swasta yang terbaik begitu juga Issac.

“Kalau kita banyak duit tetapi tiada pelajaran ia akan habis. Tetapi jika ada ilmu ia mampu membawa mereka kepada sebuah kehidupan yang lebih sempurna dan dihormati,” kata Jamal Abdillah dengan penuh yakin.

Jamal Abdillah ketika usianya awal 40an.

Kata Jamal, beliau tidak mahu anak-anaknya menjalani hidup susah sebagaimana beliau ketika di kampung dan zaman gelapnya.

“Walaupun saya tidak mahu mengingati zaman gelap saya tetapi dalam membentuk kehidupan anak-anak, saya tidak mahu ianya berulang,” kata Jamal Abdillah.

Bagi memastikan keselesaan hidup anak-anaknya, Jamal Abdillah bukan sahaja mengamalkan hidup berjimat malah sentiasa merancang demi masa depan dan kebaikan mereka bukan sahaja dalam karier seninya malah dalam bidang perniagaan.

Berpegang kepada prinsip itulah saya yang sepatutnya menemuramah beliau di sebuah pejabat perniagaannya di Cheras, tiba-tiba bertukar ke rumahnya di Shah Alam semuanya gara-gara tiada perkembangan terkini seperti yang beliau harapkan.

“Sudah empat bulan saya serahkan segala dokumen untuk pendaftaran syarikat bagi kami memulakan perniagaan tetapi nampaknya ia masih belum bergerak lagi,” katanya dengan nada kesal.

Bagaimanapun beliau tidak mahu mengaku kalah untuk memulakan perniagaan syarikat yang meletakkannya sebagai pemegang saham terbesar sebanyak 50 peratus sementara dua rakankongsinya memegang 40 peratus dan 10 peratus saham syarikat.

“Insyaa-Allah…saya yakin dalam waktu terdekat impian saya untuk mengukuhkan kehidupan anak-anak akan menjadi kenyataan,” kata Jamal Abdillah penuh harapan.

Apabila ditanya mengapa hari ini beliau menjadi seorang babah (ayah) yang terlalu ‘protective’ berbanding Jamal Abdillah yang saya kenal semasa mempunyai Osama Yamani dan Ahmad Zaki Yamani?

Tanpa teragak-agak, Jamal yang kelihatan bergaya petang itu dengan sepasang baju melayu berwarna hijau lembut siap bersampin songket dan bersongkok berkata;

“Dalam usia saya mencecah 62 tahun dan baru empat tahun usia perkahwinan kami, macam-macam yang saya fikirkan tentang anak-anak, isteri dan diri saya.

“Saya bukan sahaja memikirkan tentang tanggunggjawab, karier malah saya juga memikirkan apa akan jadi pada keluarga saya jika suatu hari nanti saya ditakdirkan tidak dapat hidup dengan sempurna seperti biasa.

JAMAL Abdillah bergandingan bersama dua rapper, Kmy Kmo dan Luca Sickta dalam lagi “Neraca.”

“Bagaimana nanti jika saya sakit, kemalangan, diserang stroke dan terbaring di katil tanpa boleh buat apa-apa? Memikirkan semua itu memang membebankan tetapi apabila saya sedar semuanya adalah kuasa Allah saya kembali kepada takdir-Nya dan yakin bahawasanya Dia adalah perancang yang terbaik untuk setiap insan-Nya.

“Menyedari itu, saya mengamalkan gaya hidup sihat dengan sentiasa melakukan ‘exercise’ bukan sahaja untuk keluarga malah karier saya,” jelas Jamal Abdillah.

Bagi memastikan kesihatannya, setiap pagi beliau akan melakukan ‘exercise’ di bilik khas rumahnya sekurang-kurang 40 minit seperti berlari di ‘treadmill’ sit-up kemudian mandi sauna.

Menurut beliau, apabila usia semakin meningkat kadangkala ketika rakaman beliau boleh ‘pancit.’ Dengan cara hidup sihat beliau dapat menurunkan berat badannya daripada 74kg kepada 69kg, berat badan yang hampir sama ketika remaja iaitu 65kg.

“Semua ini amat penting untuk kekal sebagai penyanyi kerana jika badan berisi ia akan mengganggu pernafasan dan menjejaskan suara kita,” jelas Jamal Abdillah yang mana baru-baru diundang berduet dengan duo rapper Kmy Kmo dan Luca Sickta dalam lagu “Neraca” dan Wany Hasrita dengan lagu “Belenggu Rindu.”

Disamping itu, beliau juga mengambil supplemen dan vitamin C atas nasihat doktor kerana tidak mahu tersilap langkah.

“Saya tidak mahu mengambil jalan mudah. Saya tahu ada yang mengesyorkan saya agar membuat suntikan untuk nampak muda. Itu bukan saya! Saya mahu nampak sihat dan bergaya dengan cara betul!” kata Jamal Abdillah.

Menurut beliau, apa juga yang dilakukan kini bukan sahaja tanggungjawabnya sebagai penyanyi malah sebagai suami dan ayah kepada empat orang anak yang masih memerlukan perhatiannya.

“Bayangkan dalam usia saya 62 tahun dan isteri 26 tahun dengan anak yang kecil baru berusia lima bulan saya harus fikirkan semua itu.

“Saya tidak pernah terfikir setelah menduda selama 12 tahun dan hanya sekali berjumpa Zetty yang datang ke rumah saya dan duduk di kerusi itu (sambil menunjukkan kerusi di mana Zetty yang berjaya mencuri hatinya pada pandang pertama) pada Mac 2017 bersama sepupu saya, Aznor yang saya panggil Yob, ia telah mengubah pendirian saya.

“Perkahwinan kami tidak dimulakan dengan berdating atau berhubung melaui telefon tetapi apabila Zetty nak balik saya bertanya sama ada dia sudi menjadi isteri saya atau tidak.

“Ketika itu Zetty tidak menjawab walau sepatah perkataan pun. Apabila saya beritahu Yob, beliau menyakinkan saya perempuan kalau diam maknanya setuju dan saya amat bersyukur lalu saya ke Jabatan Agama Islam untuk menguruskan pernikahan dan membuat pemeriksaan kesihatan. Selepas sebulan dari tarikh pertemuan itu, kami bernikah di Perak yang dihadiri oleh keluarga terdekat,” cerita Jamal Abdillah mengenai perkahwinan kali keempatnya.

Menyentuh mengenai perancangannya dalam bidang nyanyian, Jamal Abdillah yang pada mulanya merancang untuk mengadakan “Konsert Empat Dekad Jamal Abdillah” di Istana Budaya pada Ogos sempena 40 tahun dalam bidang seni memberitahu;

“Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, konsert tersebut dengan tetamu istimewanya, Profesor Datuk Seri Dr. Ahmad Nawab, komposer yang banyak membantu menaikkan nama saya, terpaksa ditangguhkan kepada April tahun depan.

“Bagaimanapun saya akan mengadakan “Konsert Frontliners” dengan kerjasama Kementerian dan menampilkan penyanyi daripada frontliners seperti anggota tentera, polis dan JPJ dengan diiringi Orkestra ATM selama empat malam bermula 28 Julai sehingga 1 Ogos.”

Mengenai rakaman lagu, Jamal Abdillah yang mengamalkan sikap terbuka dan menerima gaya dan muzik arus perdana masa kini berkata;

“Saya telah ‘dipinang’ oleh FMC untuk berduet dengan Wany Hasrita dengan lagu ciptaan Ezra Kong. Selepas raya pula saya akan merakamkan suara dengan Osama dalam lagu “Lambaian”dengan pencipta lagu yang sama.”

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here