Oleh KHADIJAH IBRAHIM

AKTOR Lee Kwang Soo, 36, mengambil keputusan untuk mengundur diri daripada menjadi anggota tetap program Running Man selepas Gary Kang meninggalkan program tersebut pada 2016.

Agensinya, King Kong by Starship memberitahu, 24 Mei ini merupakan rakaman terakhir Kwang Soo untuk program tersebut. Pelakon yang digelar Giraffe dalam kalangan anggota Running Man itu terpaksa menarik diri kerana keadaan dirinya yang tidak mengizinkan.

“Ketika ini beliau sedang menjalani rawatan akibat kecederaan sewaktu kemalangan jalan raya pada tahun lalu. Keadaannya yang tidak pulih sepenuhnya itu membuatkan Kwang Soo tidak selesa apabila menjalani penggambaran yang melakukan pelbagai aktiviti itu.

“Selepas berbincang panjang antara anggota Running Man, penerbit dan pihak agensi, akhirnya beliau mengambil keputusan untuk mengundur diri dan demi memberi tumpuan untuk memulihkan badan dan fikirannya,” jelas agensinya.

Pada Februari tahun lalu, Kwang Soo mengalami kemalangan kereta dan mengalami patah di pergelangan kaki kanannya. Pada waktu itu beliau menjalani pembedahan dan masih menjalani rawatan dari masa ke semasa akhirya mengambil keputusan berehat daripada menyertai Running Man yang disertainya sejak 2010.

Sementara itu, pihak SBS yang menyiarkan program tersebut turut mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai penarikan diri Kwang Soo daripada Running Man yang dianggotai oleh Yoo Jae-suk, Haha, Jee Seok-jin, Kim Jong-kook, Song Ji-hyo, Jeon So-min dan Yang Se-chan.

Menurut kenyataan rasmi SBS, sudah lama pihak produksi Running Man berbincang tentang peletakan jawatan Kwang Soo daripada siri tersebut dan mereka menghormati keputusan pelakon tersebut.

“Sejak kemalangan kereta tahun lalu, Lee Kwang Soo telah menjalani rawatan pemulihan untuk kakinya dan walaupun keadaannya tidak begitu sihat, beliau tetap menjalani rakaman Running Man kerana cinta dan tanggungjawabnya terhadap program tersebut.

“Namun di sebalik usaha gigih Lee Kwang Soo, sebenarnya tidak mudah untuknya melakukan kedua-duanya sekali dan beliau memberitahu masalahnya kepada rakan-rakan dan produksi.

“Rakan-rakan dan produksi mahu terus bersama beliau tapi kerana menghormati keputusannya, semua orang tidak membantah. Kami harap penonton akan terus menyokong Running Man walaupun tanpa Kwang Soo,” jelas wakil SBS dalam satu kenyataan yang dipetik dari Soompi.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here