Aaron Aziz kinii mempromosi kemeja-T jenama Hombre 21.

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KALAU sebut nama Datuk Aaron Aziz, ramai yang tahu beliau adalah pelakon hebat. Sudah 20 tahun membabitkan diri dalam bidang seni dan sehingga kini beliau masih lagi diberi kepercayaan melakonkan watak utama.

Selepas berjaya meletakkan nama di kedudukan tersendiri dalam bidang seni, kini Aaron, 45, mencuba nasib dalam dunia perniagaan pula dan siapa sangka rezeki berpihak kepadanya.

Aaron merupakan antara penerima anugerah untuk Malaysia Prestigious Industry Awards (MYPIA) yang berlangsung baru-baru ini. Penghargaan itu bukti bahawa beliau serius dalam perniagaan.

Bagi meneruskan legasi perniagaannya, Aaron muncul dengan koleksi pakaian ‘street wear’ menerusi jenama Hombre 21 yang mana ia satu lagi usaha ke arah membina empayar perniagaan dan mengukuhkan jenama dirinya.

Kemeja-T ini menampilkan lima rekaan berbeza berdasarkan kisah hidup Aaron Aziz.

Menurut Aaron, Hombre adalah perkataan yang diambil dari bahasa Sepanyol yang membawa maksud semangat persaudaraan atau ‘brotherhood’.

“Kalau ikutkan koleksi pakaian ini sudah dijual di Singapura. Selepas pemiliknya iaitu Azhar Sulaiman menjadi rakan perniagaan saya, itu yang ambil keputusan untuk pasarkan di Malaysia pula. Saya mahu jenama Hombre ini menjadi pilihan masyarakat dan terkenal seperti kebanyakan jenama ‘street wear’ lain.

“Didatangkan dengan jaminan kualiti terbaik, saya yakin koleksi ini mampu memberi kepuasan kepada sesiapa saja yang memakai dan memilikinya. Dari segi harga pula, ia cukup berbaloi dengan rekaan dan kualiti yang ada iaitu RM100++,” katanya.

Koleksi Hombre 21 itu menampilkan lima rekaan dengan setiap daripadanya menceritakan kisah dan perjalanan hidup Aaron dari dulu sehingga sekarang.

Aaron menggambarkan bagaimana kehidupan silamnya ketika di zaman remaja yang dianggap sebagai zaman jahiliah sebelum menemui titik cahaya yang akhirnya menyinari hidupnya sehingga kini bersama isteri dan tiga anak tercinta.

Antara rekaan yang diketengahkan adalah Keluarga Omerta, Berdoa Untuk Kebaikan, Zaman Penyesalan, Keinsafan dan Jangan Cari Hal. Setiap tema mempunyai lakaran yang berbeza.

Aaron Aziz serius dalam setiap bidang yang diceburi.

“Semua orang ada masa silam. Ada yang baik dan ada juga sebaliknya. Untuk saya, apa yang boleh saya katakan adalah masa silam yang penuh keperitan atau senang cakap zaman jahiliah. Malah, saya akui pernah beberapa kali melampaui batas dan akhirnya mendapat balasan.

“Pelbagai cabaran dan dugaan perlu dilalui sebelum saya berjaya keluar dari kegelapan itu. Namun, itu semua yang mendewasakan dan mematangkan diri. Walaupun ada ketika dipandang hina, tapi saya percaya keadaan kita tak selamanya di bawah jika ada rasa ingin berubah.

“Itulah yang saya buat sehingga berada pada tahap sekarang. Betul, nak menjadi baik bukan senang. Tapi, bagi saya paling penting adalah pegangan diri perlu kuat selain saya sentiasa berfikiran positif.

Ini rekaan tema Berdoa Untuk Kebaikan.

“Jadi, kesemua koleksi ini sangat istimewa dan mempunyai nilai tersendiri. Saya mahu setiap orang memilikinya dan menjadikan ia koleksi peribadi. Mungkin ada antara mereka juga mempunyai cerita sama seperti saya,” katanya.

Bukan sahaja bersifat ‘street wear’, koleksi Hombre 21 ini juga memiliki rekaan Islamik sekali gus menjadikan ia berbeza daripada rekaan jenama lain.

“Macam saya katakan, setiap koleksi mempunyai cerita tersendiri. Malah, dalam rekaan juga ada ciri khas yang bukan saja memberi keselesaan tapi juga sedap mata memandang. Kesemua koleksi Hombre 21 boleh didapati di laman web www.hombre21.store,” katanya.

Bukan sekadar menjual kemeja-T Hombre 21, Aaron turut menjadi model untuk jenama tersebut.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here