SHAH ALAM – Lembaga Tabung Haji (LTH) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Amrin Awaluddin sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) berkuatkuasa mulai 6 Mei.

Sehubungan itu, Amrin akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mulai 1 Mei.

LTH dalam kenyataannya di sini berkata, pelantikan itu dipersetujui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Datuk Seri Amrin mempunyai pengalaman lebih 30 tahun di sektor korporat dan memulakan karier beliau di institusi perbankan sebelum memegang beberapa jawatan penting di syarikat seperti Renong Berhad, Malaysian Resources Corporation Berhad serta Putera Capital Berhad.

“Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif antaranya di Natseven TV Sdn Bhd (NTV7), Sistem Televisyen Malaysia Berhad, Media Prima Berhad, Sime Darby Property Berhad, Boustead Holdings Berhad dan LTAT,” kata kenyataan tersebut pada Rabu.

Selain itu, beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Acadia, Kanada dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dengan kepujian dari University of Hull, England.

“Beliau juga merupakan ahli Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA), United Kingdom dan Akauntan Bertauliah Institut Akauntan Malaysia (MIA),” katanya.

Dalam kenyataan sama, TH memaklumkan Datuk Mohd Nik Hasyudeen Yusoff akan melepaskan jawatannya sebagai Ahli Lembaga, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif berkuatkuasa pada 5 Mei.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here