TINDAKAN ‘tegas’ polis berhubung langkah membendung penularan pandemik Covid-19 menarik perhatian masyarakat. Isu berkaitan kompaun RM10,000 ; RM50,000, masjid dikompaun serta membilang kasut dan kereta pada hari raya mengundang pelbagai reaksi masyarakat.

Ada yang mengkritik dan ada yang sinis. Itu persepsi masing-masing. Apa yang penting penguatkuasaan itu adalah untuk ‘mendidik’ bukan semata-mata mahu ‘menghukum’ mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Apabila timbul isu sebegini, maka pelbagai persepsi negatif terhadap penguatkuasaan berkenaan yang dianggap berat sebelah atau tidak adil.

Jika di peringkat awal PKP dulu, timbul isu kuarantin golongan kayangan, hari ini timbul pula soal jumlah kompaun yang dikenakan, dikatakan antara dua darjat, berat sebelah serta dilihat ‘menekan’ golongan bawah terutama yang terkial-kial mencari rezeki.

Persepsi sebegini boleh dielakkan jika ada ‘budi bicara’ dalam kalangan pihak penguat kuasa ketika mengeluarkan kompaun. Wajarkah penguat kuasa meletakkan nilai maksimum kompaun sehingga dilihat tidak munasabah atau keterlaluan?

Eloklah pihak berkuasa menyelak semula beberapa kes yang dikenakan kompaun sebelum ini sama ada yang sudah selesai atau belum selesai. Lihat di mana ada kelompangan sehingga masyarakat mempertikaikan ‘hukuman’ berkenaan.

Mungkin boleh dibuat perbandingan kes penjual burger, selebriti terkenal Neelofa
serta pasangan yang memberi maklumat palsu untuk rentas negeri. Semua kes ini mempunyai kesalahan yang sama iaitu melanggar SOP.

Apakah formula yang diguna pakai dalam menentukan nilai kompaun atau denda?
Memberi maklumat palsu sudah tentu satu kesalahan. Mungkin pertimbangan boleh diberi jika menipu dengan alasan ‘kecemasan’ bukan untuk berbulan madu.

Ada pula yang mengambil kesempatan kelulusan rentas negeri tetapi melakukan perkara sampingan yang lebih nyata melanggar SOP. Benar, pemohon tidak menipu ketika mengemukakan alasan alasan tetapi bak kata pepatah sambil menyelam minum air atau melencong dari tujuan asal.

Dalam hal ini ada dua penipuan – menipu bagi mendapatkan kebenaran rentas dan menipu selepas dibenarkan merentas.

Kes penjual burger memang menarik untuk diberi perhatian. Secara kebetulan masyarakat membandingkan pula dengan kes Neelofa. Jika diamati, jauh bezanya dua kes langgar SOP ini, satu di kawasan ‘SESAK’ dan satu di kawasan ‘SUNYI’..

Maka ‘hukuman’ itu membuka ruang kepada masyarakat menyatakan rasa tidak puas hati. Tidak perlu disenaraikan kenapa ramai tidak puas hati. Kita hormat kuasa yang ada pada polis.

Penjual burger, jika diikutkan cerita hanya gagal mematuhi SOP berkaitan waktu berniaga. Dia tidak boleh berniaga sehingga waktu sahur seperti restoran.

Benar kadar kompaun boleh dirayu. Tetapi pertimbangan boleh diberi kerana dia bukan berniaga di kawasan SESAK seperti di bazar Ramadan atau bazar Aidilfitri. Dia juga bukan berada di kawasan SEMPIT. Dan rasanya tidak ada SEMBANG atau bertutur jarak yang dekat.

Andainya pihak berkuasa turun ke bazar atau majlis keraian atau perkahwinan, berapa ramai yang boleh dikompaun jika 3S atau 3C juga dinilai sebagai SOP.
Adakah SOP sekadar ada MySejahtera, pengimbas suhu dan pelitup muka?

Adakah SOP mengecualikan penganjur program atau acara yang gagal mengawal pergerakan diri, tetamu atau pengunjung yang hadir?

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here