Bagi Ayda biarlah berita kehamilannya , beliau umum sendiri dan bukan pihak lain.

 

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KEGEMBIRAAN jelas terbayang di wajah pelakon dan penyanyi Ayda Jebat tatkala bercerita tentang kehamilannya yang sudah empat bulan itu.

Sebelum ini, Ayda tidak gembira dengan berita kehamilannya yang diuar-uarkan oleh pihak lain. Baginya, berita gembira tersebut biarlah beliau yang umum sendiri dan bukan orang luar.

Ayda, 29, berkongsi berita gembira itu dengan pihak media di majlis berbuka puasa anjurannya, pada 28 April (Rabu) di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.

Beliau turut memaklumkan hampir mengalami keguguran kerana tekanan kerja selain sekeliling saat berita kehamilan diumumkan lebih awal oleh pihak lain.

“Tak dinafikan bila berita kehamilan itu didedahkan bukan daripada saya atau suami, saya jadi stres kerana terlalu banyak berfikir dan kecewa dengan tindakan pihak tersebut.

“Malah saya juga mengalami pendarahan hingga dimasukkan ke hospital.  Bagaimanapun semua kembali terkawal selepas itu,” katanya yang berharap proses kehamilannya akan dipermudahkan hingga sampai hari bersalin.

Ayda dan suami. Nabil mengumumkan berita gembira tersebut di Instagram miliknya.

Pemilik nama penuh, Nor Suhada Jebat itu dijangka melahirkan anak sulungnya pada Oktober depan. Selain menguar-uarkan berita itu secara bersemuka dengan pihak media, Ayda dan suami, Nabil Mahir turut memuat naik video tentang dirinya hamil di Instagramnya hari ini.

“Semoga segala galanya dipermudahkan. Mohon semua mendoakan yang baik-baik. Majlis hari ini saya undang rakan media, klien serta sahabat terdekat untuk berkongsi berita gembira ini.

“Saya percaya usia sekarang tempoh terbaik untuk berkongsi berita ini. Terima kasih buat semua yang memahami. Semoga semuanya dipermudahkan, insya-Allah,” katanya ceria.

Belum bersedia kongsi jantina anak yang dikandung.

Tambahnya, keputusan mengumumkan kehamilan pada saat ini kerana terikat dengan komitmen kerja. Jadi saya ambil masa untuk umumkan perkara ini dengan jenama yang sudah saya terikat.

“Selain pada masa sama mengatur komitmen dan sesi fotografi dengan jenama berkenaan,” katanya.

Berkongsi pengalamannya dalam tempoh hamil ini, Ayda yang bernikah dengan Nabil pada 1 Januari lalu, akui beliau berdepan alahan bau termasuk bau dapur rumah.

“Malah saya juga tak tahan dengan bau penyembur sanitasi milik suami,” katanya yang belum bersedia berkongsi jantina anak lagi.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here