SAHAK Md. Yasim (kiri) dan Raziman Hassan, perejam negara 80-an hingga 90-an ketika Liga Jemputan Kelab Sepak Takraw Media Massa 2009 di Taman Keramat, Kuala Lumpur.
Oleh Abdul Hafiz Ahmad
[email protected]

PENCIPTA blocking sepak takraw, Sahak Md. Yasim mengalami kekurangan oksigen yang ketara dan kini terpaksa ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh, Selangor sejak semalam setelah disahkan positif Covid-19.

Turut dimasukkan ke hospital berkenaan ialah isterinya, Rokiah Basir kerana tekanan darah yang rendah.

Pemenang tiga pingat emas Sukan SEAP era 70-an itu turut diberikan bantuan bekalan oksigen menerusi hidung, bahan steroid dan ubat antibiotik sebagai tiga kaedah rawatan dan penyembuhan, kata menantunya, Zaki Ab. Rahman.

Katanya, “kandungan oksigen dalam paru-paru bapa mertua saya ini menurun dengan sangat ketara yang disebabkan keadaan paru-parunya yang membengkak dan adanya air.

“Jadi Dr. Alex di hospital itu selepas waktu berbuka puasa (semalam), terpaksa memindahkannya ke ICU kerana terdapat alat bantuan di situ untuk menghasilkan oksigen dengan banyak,” katanya dalam mesej klip video lebih lima minit yang diedarkan semalam.

Menurut Zaki, oksigen dimasukkan kepada badan bekas apit kanan kebangsaan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu melalui tiub pada hidungnya dalam keadaan masih sedar.

Sahak, 73, mengalungkan Malaysia dengan tiga pingat emas Sukan SEAP/SEA Singapura 1973, Bangkok 1975 dan Kuala Lumpur 1977 selain membantu ATM menjuarai Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari.

SAHAK Md. Yasim dengan libasan gunting pada era kegemilangan 70-an.

Bekas anggota Kor Risik Diraja ATM kelahiran Kampung Nuri, Johol, Negeri Sembilan ini dianggap mula-mula memperkenalkan tampanan kaki di depan jaring pada era 70-an bagi menghalang rejaman lawan yang sebelum ini bebas dan mudah menerjah gelanggang.

Selain itu kata Zaki, doktor terpaksa memberikan bapa mertuanya, ubat steroid untuk membantu penyembuhan paru-paru supaya mengurangkan bengkak biarpun terdapat kemungkinan dan mudaratnya kerana ketahanan (imuniti) badannya akan menurun.

“Jika rawatan kedua jika yang pertama tadi gagal, ubat tidur juga akan diberi dan bantuan mesin oksigen disalurkan dalam keadaannya yang tidak sedar. Kaedah ketiga pula ialah pemberian antibiotik,” katanya.

Kata Zaki, doktor memberikan pengawasan rapi kepada Sahak namun kadang-kadang terdapat tindakan yang di luar jangkaan dalam masa dua tiga hari ini.

“Ada kemungkinan jika rawatan sekarang kurang memberikan kesan seperti diharapkan, doktor akan memberikan bantuan pernafasan dengan mesin oksigen melalui tiub pada mulutnya.

”Walau bagaimanapun kaedah itu didapati tidak perlu sekarang kerana dia masih sedar dan masih bergantung kepada kesan pada badannya,” katanya.

Zaki turut memohon semua pihak yang mengenali Sahak terutama para peminat sukan sepak takraw mendoakan kesihatan yang terbaik buatnya.

Sesiapa pun termasuk ahli keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan, tidak dibenarkan melawatnya sekarang, katanya.- BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here