KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd (PNB) telah mengumumkan bahawa peletakan jawatan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai Pengerusi Kumpulan selepas beliau tidak berhasrat meneruskan kontrak pelantikan yang berakhir esok (30 April).

PNB dalam kenyataannya hari ini berkata, Zeti Aziz telah menyatakan hasratnya secara rasmi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) tentang perkara berkenaan.

Zeti menyifatkan perkhidmatannya selama tiga tahun di PNB sebagai satu penghormatan, lapor Sinar harian.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) itu berkata, PNB telah melaksanakan agenda transformasi organisasi dalam tempoh yang mungkin paling mencabar dan transformatif yang pernah dialami.

“Agenda, transformasi tersebut telah mendorong potensi peningkatan prestasi dan inovasi yang lebih besar, serta kecekapan yang lebih tinggi.

“PNB kini berada dalam kedudukan teguh untuk melakukan yang lebih baik lagi pada masa depan dan meraih penciptaan nilai jangka panjang yang disasarkan demi para pemegang unit kami,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan, Ahmad Zulqarnain Onn mewakili pihak pengurusan dan kakitangan PNB mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Zeti Aziz atas kepimpinan yang berwawasan dan sumbangan yang tidak ternilai kepada PNB, ASNB dan Syarikat Kumpulan PNB sepanjang tempoh tiga tahun.

“Beliau membawa bersamanya hampir empat dekad pengalaman dalam perkhidmatan awam dan pengukuhan institusi, yang telah memberi banyak manfaat kepada PNB,” katanya.

Menurut PNB, pelantikan pengerusi kumpulan yang baharu akan diputuskan oleh YPB dalam masa terdekat.

Sementara itu, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang berkhidmat pada tahun 2011 hingga 2017 kini disebut-sebut akan dilantik mengantikan Zeti.

Zeti mengambil alih jawatan pengerusi PNB pada Jun 2018 daripada Tan Sri Abdul Wahid Omar, yang kini merupakan pengerusi Bursa Malaysia Bhd. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here