Photo by Daniel Korpai on Unsplash
Oleh Muhammad Ammar Harith Idris

DALAM dunia yang terkesan dengan arus kemajuan teknologi semasa, kewujudan pelbagai medium yang menggunakan platform maya secara tidak langsung membantu manusia untuk meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Lebih-lebih lagi dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), kerancakan agenda digitalisasi yang berpaksikan sistem siber-fizikal kemudiannya telah melahirkan variasi komponen seperti data raya, kepintaran artifisial, Internet pelbagai perkara (IoT), sistem perkomputeran awan dan lain-lain.

Pelbagai teknologi yang ditawarkan ini telah mengubah lanskap beribadah umat Islam kepada normal-normal baharu, sekaligus merubah tradisi yang diamalkan dalam masyarakat.

Namun, senario ini tidak bertentangan dengan prinsip asas syariah Islam ekoran sifat fleksibilitinya dalam berinteraksi dengan arus kemajuan semasa.

Ini kerana perubahan tidak melibatkan asas hukum yang ditetapkan, tetapi lebih kepada perubahan teknologi yang dicapai di samping kekangan ketika pandemik melanda umat Islam. Sifat fleksibiliti ini dapat menjadikan Syariat Islam sentiasa relevan di setiap tempat, masa dan keadaan.

Bagi umat Islam, kepelbagaian aplikasi dalam talian yang wujud ketika ini sewajarnya dapat membantu mereka dalam melaksanakan urusan-urusan berkaitan ibadah.

Terutamanya apabila kita berada di bulan Ramadan yang menawarkan ganjaran beramal ibadah berlipat kali ganda melebihi bulan-bulan lain.

Lantaran itu, umat Islam sewajarnya memanfaatkan teknologi semasa ini agar bersegera dalam melakukan kebaikan selaras dengan firman Allah taala :
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” Surah Ali ‘Imran (133)

Umpamanya dalam bulan Ramadhan kini, pelbagai perubahan pendekatan disaksikan dalam amalan ibadat yang dilaksanakan, sama ada dalam amalan tilawah dan tadarus al-Quran, pembayaran infaq, sedekah dan zakat fitrah.

Dalam konteks ibadah ketika bulan Ramadan, platform siber seperti media sosial merupakan antara ruang ibadah yang boleh dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Selain daripada melaksanakan ibadah wajib berpuasa, pembacaan al-Quran juga boleh dilakukan pada kadar yang optimum. Tambahan pula, daripada segi sejarahnya, al-Quran telah diturunkan sebagai wahyu oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW pada bulan ini.

Jika sebelumnya, kita hanya membaca al-Quran berdasarkan mushaf yang berbentuk fizikal, namun kini kita boleh membacanya hanya menggunakan telefon-telefon pintar (smartphone) dengan memuat turun aplikasi-aplikasi al-Quran yang menyerupai mushaf fizikal sebenar sama ada di sistem yang bercirikan Android mahupun IoS.

Ia memberikan kesempatan kepada kita untuk menghidupkan amalan tadarus, tilawah dan khatam al-Quran sepanjang bulan ini. Malah, dalam suasana pandemik Covid-19 ketika ini, amalan tadarus ini boleh diteruskan dalam tatacara normal baharu menerusi aplikasi pertemuan seperti Zoom, Webex, Google Meet dan sebagainya.

Di samping itu, antara ibadah yang boleh dilaksanakan pada era siber-fizikal ini juga amal jariah seperti sedekah, wakaf dan infaq. Jika sebelumnya amalan-amalan tersebut dilakukan secara konvensional, namun kini ia boleh dilakukan walaupun tanpa keluar dari rumah masing-masing.

Sebagai contoh, pembayaran zakat fitrah sebelum ini lazimnya dilakukan dengan berjumpa Amil Fitrah sama ada di masjid, surau ataupun kaunter-kaunter yang dibuka.

Sejajar dengan perkembangan teknologi semasa, umat Islam boleh melunaskan bayaran zakat fitrah mereka dalam bulan Ramadan menerusi aplikasi-aplikasi dalam talian yang dibangunkan oleh institusi zakat di Malaysia seperti Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan lain-lain.

Bahkan, keputusan mengharuskan metod pembayaran zakat sedemikian telah diputuskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 1 April 2019 yang lalu.

Selain itu, umat Islam juga berupaya meneruskan amalan bersedekah ketika Ramadan seperti menyediakan juadah berbuka puasa kepada saudara mara ataupun jiran tetangga. Alasan penularan pandemik ketika ini tidak sewajarnya menghalang kita daripada meneruskan tradisi yang baik sekaligus menambahkan pahala amal jariah dalam bulan ini.

Lebih-lebih lagi, dengan kemudahan aplikasi penghantaran makanan seperti Foodpanda, GrabFood, BungkusIt dan sebagainya kita boleh sahaja memesan terus juadah untuk dihadiahkan kepada insan-insan yang tercinta.

Saranan menyediakan juadah berbuka ini telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis:
“Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.” (Riwayat Al-Tirmizi, 807)

Begitu juga dengan amalan bersedekah dan berwakaf yang boleh dibuat secara terus menerusi perkhidmatan perbankan atas talian. Ketika umat Islam yang lain sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri, masih terdapat individu-individu yang kurang bernasib baik.

Sebahagian daripada mereka kehilangan pekerjaan dan pendapatan sehingga terpaksa memohon simpati daripada orang ramai. Dengan hanya menggunakan kemudahan internet, kita boleh sahaja menyalurkan sumbangan terus kepada akaun-akaun mereka. Bahkan, Allah SWT telah menjanjikan pahala yang besar bagi mereka yang bersedekah.

Firman Allah taala:
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” Surah al-Baqarah (261)

Sehubungan itu, marilah kita menghidupkan Ramadan ini dengan mengambil kesempatan memanfaatkan sepenuhnya kecanggihan teknologi semasa bagi tujuan ibadah kepada Allah SWT dalam ruang yang dibenarkan. Sebaliknya, janganlah pula kita menjadi seperti golongan yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW sebagai orang yang rugi, iaitu mereka yang apabila berlalunya Ramadan, tetapi tidak meraih keampunan di sisi Allah SWT. – BebasNews

Muhammad Ammar Harith Idris merupakan Pegawai Penyelidik, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here