Oleh Arrazaq Nazri

KHALIFAH Umar Al-Khattab terkenal dengan sifat bengis dan garang dalam kalangan komuniti Quraisy. Sebelum memeluk Islam baginda merupakan penentang kuat ajaran Nabi Muhammad SAW yang cukup berbeza dengan amalan jahiliyyah kaumnya selama beliau hidup di muka bumi Mekah.

Suatu hari beliau ke rumah saudaranya yang telah mengikut ajaran Islam. Dengan hati yang menyinga baginda hadir untuk ‘mengajar’ saudaranya itu bahawa Islam bukanlah ajaran yang benar. Namun sebelum beliau memasuki rumah saudaranya itu, terdengar alunan bacaan ayat-ayat yang mendamaikan amarah di hatinya.

Sesungguhnya ayat-ayat cinta mempesona tersebut adalah ayat kitab suci Al-Quran.

etelah itu segalanya menjadi sejarah dalam perjuangan Nabi Muhammad SAW menegakkan syiar Islam apabila Saidina Umar mengucap syahadah dan memeluk agama Islam.

Malah, pegangan kuat Saidina Umar terhadap ajaran Islam menjadikan dirinya sendiri ditakuti oleh syaitan.

Kitab suci Al-Quran bukan ayat-ayat mempesona untuk membeli jiwa manusia demi kepentingan duniawi. Ia bukan ayat-ayat untuk tilawah demi mendapat hadiah atau ganjaran. Malahan ayat-ayat Al-Quran diturunkan sebagai kitab umat Islam akhir zaman untuk meladeni kehidupan jahiliyyah masyarakat kita hari ini.

Zaman jahiliyyah di saat Nabi Muhammad SAW dipilih menjadi rasul dalam peristiwa Malaikat Jibril a.s. bukanlah zaman yang banyak beza dengan senario kehidupan hari ini.

Zaman jahiliyyah sebelum Nabi Muhammad SAW yang tidak boleh membaca dan menulis sebelum turun ayat-ayat Al-Quran, bayi perempuan ditanam hidup-hidup atas alasan anak lelaki lebih mulia.

Hari ini bayi yang dipercayai terhasil dari benih pasangan yang tidak bernikah dibuang seperti sampah merata-rata. Baik di sungai, dari atas bangunan, malah di masjid pun.

Masalah sosial semasa memerlukan penawar yang paling mujarab. Maka kewujudan negara ini sebagai negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan wajar diterjemah dalam dasar bersandarkan ajaran selaras ayat-ayat cinta terdapat pada Al Qurannul Karim.

Justeru komitmen pihak korporat seperti Karangkraf menganjurkan Quran Hour patut diberikan penghargaan yang besar. Sejak ia dianjurkan beberapa tahun lalu ia telah berkembang menjadi World Quran Hour. Program sebegini perlu dilakukan sekerap mungkin dan dianjurkan sehingga ke Hari Kiamat.

Sesungguhnya kitab suci Al-Quran yang dihafal banyak manfaatnya. Malah ia akan mengimbangi segala kebobrokan dunia yang tidak akan habis. Selagi manusia ada egoisma dan intelektualisma tersendiri maka ayat-ayat cinta dari Allah SWT kepada umat manusia hadir untuk meneutralkan rasa bersifat ujub dan takbur tersebut.

Sampai bila kita mahu membiarkan anak kita lebih petah menghafal lagu rap luar negara yang diselang seli perkataan mencarut. Adakah menghafal bait-bait lagu cinta yang mendayu-dayu dapat membangunkan ummah.

Fahamilah, Al Quran turun untuk umat manusia menyayangi satu sama lain. Hari ini ada kelompok manusia yang mendustakan ayat-ayat cinta dari Allah SWT kerana kepentingan diri. Hinggakan manusia yang mempunyai syahadah yang sama saling membenci kerana kuasa dan harta benda.

Pada era kemodenan ini marilah kita umat Islam mengenepikan perbezaan fahaman duniawi. Perlu untuk kita berganding ‘menanam’ minat membaca Al-Quran dalam diri anak kita. Inshaallah setelah adanya ayat-ayat cinta dari Allah SWT di dalam dada mereka masa depan negara lebih cerah apabila anak tahfiz ini menjadi Jurutera, Peguam, Akauntan dan pemimpin negara. – BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here