Oleh Fetty Rara

Program vaksinasi di India dilancarkan pada Januari lalu, ketika keadaan pandemik didapati reda dan jumlah kes menurun.

Pada waktu itu pengeluar vaksin yang dimiliki India sendiri, iaitu Serum Institute of India (SII) yang merupakan pengeluar terbesar dunia hanya menumpukan pengeluaran untuk rakyat negara itu seramai 250 juta menjelang Julai depan.

Sebagai sebahagian daripada skim yang diterajui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), India juga mengeksport vaksin ke negara-negara yang memerlukannya.

Tetapi, kini selepas tiga bulan jumlah kes dan kematian Covid-19 telah melonjak serius di serata negara dan hanya 26 juta penduduk berjaya diberikan vaksinasi sepenuhnya daripada 1.4 bilion, sementara 124 juta telah mendapat satu dos.

Kini, kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi telah menarik balik persetujuan antarabangsa untuk mengeksport vaksin kerana keperluan mendesak di negara sendiri memandangkan stok vaksin hampir kehabisan dan tiada sesiapa pun tahu bila bekalan selanjutnya akan diagihkan.

Macam mana boleh jadi begitu?

Pada Rabu lalu ketika berjuta penduduk sedang mendaftarkan diri secara dalam talian untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, tiba-tiba portal vaksinasi serta semua aplikasinya gagal berfungsi.

Bermula dari 1 Mei hari ini India mula membuka pendaftaran vaksinasi untuk kira-kira 600 juta lagi penerima yang menyasarkan penduduk berusia antara 18 hingga 44 tahun. Bagaimana pun platform yang dikenali sebagai CoWin tidak mampu menangani jumlah pengguna yang terlalu ramai secara serentak.

Ramai yang mengadu tersekat pada peringkat OTP (akses menggunakan kod) yang sepatutnya dihantar ke telefon pintar pengguna ketika cuba mendaftarkan diri.

Bagi yang lain pula usaha tidak sampai pun ke peringkat OTP berikutan kegagalan portal memberikan tindak balas.

Apabila portal tersebut akhirnya kembali beroperasi lancar lebih 13 juta individu yang telah berdaftar mendapati semua maklumat mereka hilang.

Ini hanya sebahagian kecil daripada 600 juta orang yang layak mendapatkan vaksinasi. Dalam pada itu masih terdapat 200 juta penerima berusia 54 tahun ke atas yang menunggu bagi mendapatkan dos kedua.

Para pakar berkata kerajaan sepatutnya telah siap menyuntik semua individu berusia 45 ke atas sebelum membuka peluang untuk yang lain, terutama ketika bekalan semakin tidak mencukupi.

Pada dasarnya itulah rancangannya sehingga 6 April apabila pihak kementerian kesihatan berkata program tersebut tidak boleh sesuka hati dipercepatkan dan bahawa pelan untuk memperluaskan vaksinasi kepada semua golongan dewasa masih dipertimbangkan.

Sejak pengumuman itu individu yang telah mendapat vaksinasi satu dos atau yang belum setakat ini terpaksa beratur panjang di pusat-pusat vaksinasi sebelum bekalan langsung kehabisan, justeru menambahkan risiko jangkitan.

Tetapi itu bukan satu-satunya faktor yang telah mengucar-ngacirkan program berkenaan di India.

Sehingga kini kerajaan pusat India merupakan satu-satunya pembeli dua vaksin yang diluluskan, iaitu Covishield Astra Zeneca yang dihasilkan oleh SII dan Covaxin keluaran syarikat tempatan Bharat.

Tetapi sekarang pasaran telah dibuka bukan sahaja kepada 28 kerajaan negeri, tetapi juga hospital swasta – kesemuanya dibenarkan membeli secara terus daripada kedua-dua pembekal itu dan membayar harga lebih tinggi.

Keadaan dwistandard ini telah merumitkan keadaan kerana perolehan vaksin telah bertukar menjadi pasaran pembeli walaupun ia sepatutnya boleh didapati oleh semua tanpa mengira darjat dan kemampuan.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here