GAMBAR: NSTP.

 

Oleh Ahmad Abd Hamid

Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang mandi biar basah’. Alang-alang berundur, biar ada ‘bang’. Jika baik jadikan teladan. Jika tidak, masih boleh dijadikan makluman dan penilaian.

Beberapa hari sebelum melepaskan jawatan 3 Mei ini, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador, mendedahkan tanpa berselindung hubungan dinginnya dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Mungkin kerana perasaan membuku di hati sudah lama tersimpan, akhirnya diluahkan oleh Hamid. Pada sidang akhbar terakhir sebagai KPN 30 April lalu, beliau mendakwa Hamzah mencampuri urusan polis yang sepatutnya di dalam bidang kuasa beliau (Hamid). Ini termasuk urusan pertukaran pegawai kanan yang cuba ditangguhkan atau dihalang oleh Hamzah. Dakwanya, Hamzah mahu menentukan siapa yang harus naik pangkat atau ditukar

Sehinggakan Hamid tidak dimaklumkan siapa penggantinya sehinggalah saat akhir pada Jumaat 30 April itu. Namun beliau tidak ada halangan timbalannya, Datuk Acyrl Sani Abdullah, mengambil alih jawatan kerana biasanya prosesnya seperti itu. Cuma mungkin beliau terkilan kerana sebagai KPN beliau orang terakhir tahu. Ini hanya menambah jelas pergeserannya dengan Hamzah.

Mungkin ramai akan mempertikai kenapa Hamid hanya mendedahkan mengenai hal ini hanya selepas beliau akan berundur. Adakah strategi ‘play safe’ atau untuk mencari populariti semata-mata?

Namun sebenarnya, pada sidang akhbar 10 April di Klang, Hamid sudah mendedahkan mengenai masalah yang dihadapinya dalam membuat pertukaran pegawai-pegawai kanan polis kerana ada arahan penangguhan. Beliau memberitahu akan bertemu Hamzah berkaitan arahan berkenaan. (Pertukaran kini sudah dilaksanakan).

Bagi Hamid, beliau berhak melakukan pertukaran itu kerana ia adalah di bawah bidang kuasa beliau sebagai KPN, sejajar undang-undang menyatakan ‘Command and Control ‘ atau kawal selia polis adalah di bawah tanggung KPN.

Mesej yang hendak disampaikan oleh Hamid ialah biarkan orang yang diberi mandat dan amanah sebagai ketua menjalankan tugas secara profesional. Elakkan gangguan atau campur tangan politik kerana ia boleh menggagu gugat etika dan profesionalisme yang diamalkan.

Ini kerana campur tangan politik kerap kali mengetepikan unsur profesionalisme dan mencampuradukkannya dengan kepentingan politik. Yang baik dan rapat dengan ahli politik tertentu mungkin meminta bantuan tali hayat, misalnya untuk dinaikkan pangkat, untuk tidak ditukar atau diambil tindakan atas kesalahan tertentu.

Ini kerana campur tangan politik kerap kali mengetepikan unsur profesionalisme dan mencampuradukkannya dengan kepentingan politik.

Kerana itu Hamid mengesyorkan jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) bukan disandang oleh menteri atau ahli politik kerana bimbang ia akan diserapi oleh unsur-unsur politik. Beliau mencadangkan pengerusi dilantik dari kalangan hakim agar lebih telus. Jika ini boleh memberi kebaikan kepada SPP, kerajaan wajar memberi perhatian serius.

Ini kerana peranan SPP itu penting. Jika benar dakwaan Hamid SPP hanya bermesyuarat empat kali setahun sedangkan banyak kes berlonggok tidak diselesaikan atau diambil tindakan, pastinya ini mengecewakan. SPP akan dilihat sebagai tidak menjalankan amanah diberi.

Pandangan Hamid mengenai isu campur tangan politik dalam PDRM tidak harus dipandang sebagai pandangan seorang yang akan bersara dan kontraknya tidak disambung. Beliau sendiri sudah menyatakan akan menyerahkan tongkat jawatan menjelang 3 Mei.

Sebaliknya anggap apa yang disuarakan sebagai kenyataan tegas agar masyarakat memahami antara kekangan yang dihadapinya sebagai KPN. Beliau membuat kenyataan ini ketika masih menyandang jawatan.

Penulis tidak mahu membandingkan beliau dengan KPN lain. Namun Hamid sudah menampakkan ketegasan apabila berundur dari PDRM sebelum ini atas dasar prinsip. Beliau dilucutkan jawatan Timbalan Pengarah 1 Cawangan Khas (SB) pada Ogos 2015 setelah 37 tahun berkhidmat.

Beliau diarah bertukar ke Jabatan Perdana Menteri. Namun beliau enggan kerana menganggap ia satu ‘cover up’ atau cubaan menutup penyiasatan 1MDB ketika itu. Hamid ditamatkan khidmat dan jadilah beliau seorang petani sehingga kembali ke PDRM atas jemputan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada 2018. Selebihnya adalah sejarah.

Turut dipecat pada lebih kurang waktu sama ialah Peguam Negara, Abdul Ghani Patail; Pengarah Cawangan Khas, Akhil Bulat; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan timbalannya, Mohd Shukri Abdul.

Anggap apa jua dakwaan oleh Hamid Bador berhubung dakwaan campur tangan politik dalam PDRM atau berhubung isu SPP, bukan kerana kepentingan diri tetapi isyarat agar diperbaiki apa juga kelemahan yang ada dan menambah baik mana yang perlu.

Hamid Bador hanya sebagai penggerak atau ‘catalyst’. Semoga penggantinya, Acryl Sani, akan berani melakukan yang terbaik meneruskan usaha ini ‘without fear or favour’.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here