Oleh Hassan Mohd Noor

JAKARTA — Presiden Indonesia, Joko Widodo sekali lagi mengingatkan ketua-ketua daerah seluruh Indonesia untuk mengambil langkah mengelakkan mudik lebaran serta mengambil langkah mendisiplinkan masyarakat terhadap protokol kesihatan.

Katanya, lonjakan kes Covid-19 di dalam negara sejak kebelakangan ini harus menjadi peringatan kepada semua untuk terus berwaspada.

“Kepada seluruh kepala daerah saya sampaikan jangan pernah lengah, sekecil apa pun kasus aktif di satu provinsi, kabupaten, atau kota.

“Menjelang perayaan Idulfitri mendatang, saya meminta para kepala daerah untuk terus-menerus menyampaikan kebijakan peniadaan mudik,” katanya melalui mesej ‘Jangan lengah’ melalui Facebooknya semalam.

Jokowi sebelum ini berkata, sebagai ketua negara, beliau sangat khuatir kerana sebilangan rakyatnya tetap nekad untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidilfitri yang akan diraikan pada pertengahan bulan ini.

Lonjakan kasus Covid-19 di sejumlah negara belakangan ini menjadi pengingat bagi kita semua untuk waspada. Kepada…

Posted by Presiden Joko Widodo on Thursday, 29 April 2021

 

Kekhuatiran itu dinyatakan berikutan budaya balik kampung atau lebih dikenali sebagai ‘mudik lebaran’ akan tetap dilakukan sekalipun kerajaan mengeluarkan kenyataan tradisi itu tidak dibenarkan sempena lebaran tahun ini.

“Saya betul-betul masih khuatir mengenai mudik di Hari Raya Aidifitri akan datang,” kata Jokowi ketika menyampaikan arahan kepada semua ketua daerah Indonesia seperti siaran di saluran YouTube Sekretariat Presiden kelmarin, Khamis.

Menurut Jokowi, berdasarkan kaji selidik yang dibuat Kementerian Perhubungan, terdapat 18.9 juta orang yang merancang untuk pulang ke kampung halaman sempena sambutan Syawal sekalipun larangan sudah dikeluarkan.

Sebelum perintah larangan ‘mudik lebaran’ dibuat, dianggarkan 89 juta atau 33 peratus daripada populasi Indonesia berhajat pulang ke kampung halaman.

Sejurus larangan perjalanan rentas negeri dan daerah dikeluarkan, peratusan mereka yang ingin pulang ke kampung turun kepada 11 peratus atau 29 juta orang tetap mahu berbuat demikian.

Bagaimanapun, angka itu kini turun kepada tujuh peratus.

“Tetapi angkanya juga masih besar… hati-hati 18.9 juta orang yang masih akan mudik,” kata Jokowi.

Pada sambutan Aidilfitri tahun lalu kes Covid-19 di Indonesia meningkat 93 peratus walaupun larangan balik kampung sudah dibuat.

Tahun ini, pemerintah menetapkan larangan balik kampung berkuat kuasa 6 hingga 17 Mei ini bagi seluruh masyarakat Indonesia.

Jokowi dan Kabinetnya juga akan berhari raya di Jakarta.

-BebasNews

Please follow and like us:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here